suria

Semuanya 'pertama kali' buat Jackie dalam Shinjuku Incident

Gandingan mantap Jackie Chan dan Daniel Wu menjayakan filem Shinjuku Incident
Gandingan mantap Jackie Chan dan Daniel Wu menjayakan filem Shinjuku Incident
Gandingan mantap Jackie Chan dan Daniel Wu menjayakan filem Shinjuku Incident

APA saja filem aktor terkenal Hong Kong Jackie Chan, pasti padat dengan aksi kung fu dan menewaskan orang jahat.

Itulah daya tarikan filem aktor itu.

Bagaimanapun, filem Shinjuku Incident arahan Derek Yee itu mengetepikan gambaran stereotaip Jackie selama ini. Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 2 April ini.

Dalam satu sidang akhbar pelancaran filem tersebut di Hotel Ritz Charlton semalam (31 Mac), Jackie berkongsi pengalamannya bahawa filem itu mempunyai banyak 'pertama kali' untuknya.

Pertama, dia hanya menjadi aktor - tidak boleh mengubah skrip dan menambah dialog. Kedua, dia menjadi orang jahat. Ketiga, dia menggunakan pistol untuk membunuh orang. Keempat, dia tidak bergaduh. Dan kelima, dia memotong pendek rambutnya khusus untuk filem itu.

"Saya tak boleh terlibat apa-apa pada on-site, ubah skrip dan tambah dialog. Walaupun 'sukar', saya perlu menghormati pengarah Derek Yee.

"Pertama kali pakai pistol bunuh orang, menjadi orang jahat, tidak bergaduh... banyak pertama kali dalam filem ini. Sebanyak lima kali pertama saya hadiahkan dalam filem ini," katanya.

Bagaimanapun, Jackie bimbang sama ada penyokong menerima atau tidak penampilan imej barunya itu.

"Penonton Singapura sokong. Malaysia sokong atau tidak?, Hong Kong, Jepun dan Amerika Syarikat. Saya terpaksa mengambil kira banyak aspek," kata Jackie.

Aktor antarabangsa itu berkata, setakat ini, sebanyak 85 peratus daripada maklum balas memberikan respons yang baik. Cuma penyokong saya di Jepun, katanya, memeluk beliau sambil menangis kerana tidak suka melihat dia mati dan dibelasah.

Ekoran itu, Jackie berharap filem terbarunya, "Junior Soldiers (Dabing Xiaojiang)" dapat ditayangkan segera kerana ia mengembalikan aura dan identiti asalnya.

Menurut beliau, skrip filem itu yang telah ditulis lebih 15 tahun lalu melibatkan penyanyi yang juga pelakon, Wang Lee Hom.

Ditanya mengenai kerjasamanya buat pertama kali dengan pengarah terkemuka itu, Jackie berkata, dia telah lama ingin berlakon di bawahnya.

"15 tahun lalu, Derek tanya saya sama ada boleh bekerja dalam filem tanpa aksi? Saya kata tak boleh. 15 tahun berlalu, saya rasa boleh berubah sekarang," jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dia menerima tawaran itu kerana mengiktiraf Derek telah mengumpulkan maklumat selama 10 tahun untuk filem itu selain berkredibiliti.

Selain itu, katanya, dia gemar fokus filem itu yang berkisar kepada golongan penghijrah dan dalam kes ini, di Shinjuku.

Sementara itu, filem yang dianggarkan menelan belanja USD$25 juta itu turut mencatatkan "kali pertama" yang lain untuk kedua-dua pelakon utama, iaitu Jackie dan Daniel Wu.

Mereka difilemkan berbogel (dari belakang) dalam satu adegan di tempat mandi.

"Mula-mula kami berdua pakai tuala... tetapi semua orang Jepun berbogel. Jadi, tidak mungkin untuk kami berdua bertuala.

Lebih-lebih lagi, watak saya Steelhead sudah lama bermastautin di Jepun... jadi perlu lebih 'open'," jelas Jackie.

Menurut Daniel, dia tidak takut berbogel. "Saya cuma takut orang lain akan membandingkan saya dengan Big Brother. Jangan lupa dia adalah Big Brother, semestinya Big," ujarnya secara berseloroh.

Jackie dalam reaksi spontan menjawab: "Anda telah mendedahkan rahsia saya." Ini menyebabkan sidang akhbar itu gamat dengan ketawa hilai.

Dalam pada itu, Daniel memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan Jackie sepanjang sesi penggambaran filem itu.

Beliau turut memuji barisan pelakon wanita. "Xu Jinglei adalah sangat hebat ... kerana fasih bercakap dalam bahasa Jepun.

Dia belajar bahasa Jepun sendiri...dia langsung tak tahu.... tapi dia fasih berbahasa seolah-olah dia orang Jepun. Lakonan dia pula amat baik."

Selepas sidang akhbar itu, semua yang hadir meraikan hari jadi Jackie ke-55 yang jatuh pada 7 April ini.

SINOPSIS

Komuniti penghijrah Cina di Tokyo menjalani kehidupan penuh misteri. Penduduk Jepun tidak mengiktiraf malah jauh daripada menyambut kehadiran mereka.

Masyarakat asal menyisihkan mereka. Kumpulan gengster, Yazuka pula kerap menghimpit kehidupan mereka. Selain itu, mereka bimbang ditahan pihak berkuasa setiap hari.

Steelhead (Jackie Chan) yang berasal dari Heilongjiang, China mengalami `kejutan' apabila tiba di Jepun. Dia tekad mencari buah hatinya, Xiu Xiu (Xu Jinglei) yang hilang selepas tiba di bandar itu sebelum itu.

Dia bagaimanapun mendapati Xiu Xiu telah berkahwin dengan ketua Yakuza, Eguichi (Masayo Kato).

Untuk meneruskan kelangsungan hidup di Tokyo, Steelhead sedar bahawa golongan penghijrah perlu bersatu-padu menangani pernindasan dunia penjenayahan dan geng Cina.

Steelhead dihormati kawan-kawannya kerana telah membina `satu tapak kukuh untuk mereka berdiri' di samping membentuk satu pakatan dengan Eguchi.

Apabila dia membantu Eguichi menyingkirkan lawannya, dia diberi kuasa mengawal kelab-kelab malam di Shinjuku.

Namun, Steelhead sedar dia tidak meminati dunia penjenayahan dan ini mendorong beliau memulakan perniagaan membaiki traktor di luar bandar Tokyo.

Tidak lama kemudian, dia tahu kumpulan gengster Eguichi mempergunakan rakan-rakannya untuk menjalankan perniagaan dadah.

Steel berasa bertanggungjawab dan berhasrat meruntuhkan `empayar' Eguchi. Dia juga tahu sekiranya dia meneruskan hasratnya itu, dia mungkin merosakkan kehidupan bahagia bekas kekasihnya.

Mampukah seorang penghijrah Cina berbuat demikian? Saksikannya esok (2 April) di pawagam.

Kenyataan Pengarah Filem `Shinjuku Incident

Filem Shinjuku Incident mengambil tempoh masa pembikinan yang cukup panjang dari detik percambahan idea hingga perfileman selesai.

Ini ekoran kerja-kerja penyelidikan yang rapi dijalankan dan jalan cerita sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

Derek Yee berkata, beliau mengetahui cerita penghijrah Cina di Jepun pada 1997 atau 1998 ketika membaca laporan dalam majalah.

Menurutnya, golongan tersebut sukar bertapak di Jepun kerana penduduk Matahari Terbit itu sukar menerima mereka yang merupakan pendatang asing ataupun penghijrah.

"Kerana berita komuniti migran tersebut jarang didengari, saya ingin mengemukakan perspektif kehidupan penghijrah Cina dalam kalangan komuniti-komuniti tersebut.

"Ia hanya cerita rekaan tetapi pastinya, ia mencerminkan hasil penyelidikan saya selama ini," katanya dalam kenyataan beliau, tahun lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain