suria

'Saham' Dina makin naik!

NAIB juara Malaysian Idol musim pertama ini hampir pernah putus asa dengan perjalanan karier seninya. Meskipun hadir di dalam bidang ini dengan bakat yang besar, Faradina Mohd Nadzir atau mesra disapa Dina ini sedar laluan dirinya di dalam industri ini tidak semudah artis-artis lain.

Berkali-kali semangatnya pernah padam. Namun, kecekalan diri serta minat menebal di dalam bidang seni ini membuatkan penyanyi berusia 24 tahun ini sanggup meredah onak ranjau untuk terus berada di dalam industri ini.

Ternyata berkat kesabaran dan kesungguhan yang dipamerkan oleh Dina selama ini berbaloi jua. Lebih empat tahun mengabdikan diri di dalam arena ini, Dina kini sudah boleh menarik nafas lega apabila banyak pihak sudah mula 'nampak' bakatnya itu.

Bukan hanya berjaya mengukir nama di dalam bidang nyanyian, tetapi pemilik syarikat Soulful Symphony Sdn. Bhd ini juga turut mendapat tempat di dalam bidang lakonan apabila dia berpeluang beraksi di pentas teater, drama dan juga filem.

Setelah mempamerkan lakonan cemerlang menerusi Impak Maksima The Musical tidak lama dulu, sekali lagi Dina ditawarkan oleh Ahmad Idham untuk membintangi filem Jangan Pandang Belakang Congkak dan yang terbaru, wajah penyanyi ini mula menghiasi kaca televisyen menerusi drama bersiri Rempit vs Impak Maksima yang juga milik produksi Idham sendiri, Excellent Pictures.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain