suria

Ungkit kisah gelap suami, Nicki Minaj gelar pengacara Wendy Williams 'perempuan jahat'

Nicki menggelar Wendy sebagai 'perempuan jahat'.

PENYANYI Nicki Minaj menggelar pengacara Wendy Williams sebagai 'perempuan jahat' selepas berang dengan tindakan wanita itu yang menimbulkan isu mengenai kisah lampau suaminya, Kenneth Petty.

Menurut laporan Mirror.uk, Wendy menerusi rancangan bual bicaranya, The Wendy Williams Show menyebut mengenai tuduhan rogol serta hukuman penjara yang pernah dihadapi suami penyanyi lagu Super Bass itu.

"Mengapa setiap kali anda sebut nama dia, mesti nak kaitkan dengan kisah buruk sebelum ini?

"Tak tahu pula saya menjadi budaya masyarakat di sini untuk sentiasa bercakap mengenai kisah lampau seseorang itu. Seolah-olah manusia itu tidak akan pernah nak berubah.

"Tak sangka, kejahatan awak seteruk ini," katanya.

Malah, Nicki turut menyifatkan Wendy sebagai perempuan yang tidak cukup kasih sayang kerana sering mencari publisiti murahan di kaca televisyen.

Kenneth Petty sebelum ini pernah berdepan hukuman penjara kerana tuduhan merogol.

"Wanita yang kekurangan kasih sayang memang memiliki kekejaman yang lain macam sikit.

"Saya doakan awak yang baik-baik sahaja kerana lihatlah kehidupan anda sekarang dengan umur yang sudah meningkat," ujarnya.

Selain mengungkit kisah silam lelaki itu, Wendy secara sinis mengucapkan tahniah kepada Nicki kerana mengahwini seorang penjenayah.

"Dia pernah meringkuk selama tujuh tahun di penjara dan dia merupakan seorang penjenayah seksual. "Tahniah buat Nicki!" ujar Wendy.

Wendy William sebelum ini terkenal dengan kelantangannya dalam bersuara mengenai perihal selebriti lain menerusi program bual bicara kendaliannya, The Wendy Williams Show.

Antara selebriti yang pernah menjadi mangsa kritikan Wendy adalah Beyonce dan Ariana Grande.

Artikel Lain