Terpalit kontroversi pelacuran dan dadah, Seungri (Big Bang) umum bersara sebagai artis - Bintang Global | mStar

Terpalit kontroversi pelacuran dan dadah, Seungri (Big Bang) umum bersara sebagai artis

Penyanyi terkenal Seungri (Big Bang) mengumumkan persaraannya dalam bidang seni selepas namanya dikaitkan dengan kontroversi pelacuran dan dadah. Foto THE KOREA HERALD

ANGGOTA kumpulan Big Bang iaitu Seungi membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bersara daripada dunia hiburan.

The Korea Herald melaporkan Seungri atau Lee Seung-hyun, 29, membuat keputusan itu selepas namanya dikaitkan dengan beberapa skandal termasuk didakwa menjadi orang tengah aktiviti pelacuran untuk golongan ternama.

"Saya merasakan bersara daripada dunia hiburan adalah keputusan terbaik buat masa ini," katanya menerusi Instagram miliknya.

Menerusi kenyataannya itu, Seungri memberitahu keputusannya itu mempunyai kaitan dengan tuduhan terhadapnya ketika ini.

Seungri (kiri) mencipta kemasyhuran sebagai bintang kpop bersama Big Bang.

Penyanyi itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa namun tidak ditahan.

Selain tuduhan terlibat dalam aktiviti pelacuran, Seungri didakwa terlibat dalam pengedaran dadah di sebuah kelab elit, Burning Sun yang turut memperlihatkan dia bertindak sebagai pegawai ekskutif.

Bagaimanapun ujian air kencing yang dilakukan terhadap penyanyi itu negatif.

Sementara itu, Seungri turut mengumumkan dia akan menyertai latihan ketenteraan bermula 25 Mac ini namun pihak polis dalam kenyataan memberitahu siasatan akan tetap dijalankan terhadap penyanyi itu.

Seungri , Big Bang

Artikel Lain