53,285 Perniagaan Online Setakat Julai 2017

KUALA LUMPUR: Sebanyak 53,285 perniagaan dalam talian berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat 10 Julai lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata bagi menggalakkan pematuhan pendaftaran perniagaan dan pengenalan kepada perniagaan dalam talian yang meliputi perniagaan, syarikat dan perkongsian liabiliti terhad, SSM menganjurkan Karnival SSM-One (Online Networking Entrepreneurs) di seluruh negara.

"Di peringkat kementerian, kami menawarkan insentif berbentuk keusahawanan digital kepada perniagaan kecil dalam talian yang memfokuskan kepada aspek pendidikan dan kemahiran.

"Latihan dan kursus yang ditawarkan oleh kementerian merangkumi latihan lapangan, simulasi, kaedah strategi pemasaran digital melalui media sosial dan perniagaan dalam talian yang efektif yang dilaksanakan secara bersama dengan agensi kerajaan, institut pengajian tinggi, pihak industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM)," katanya.

Henry berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) mengenai statistik terkini jumlah pendaftaran dalam talian dan insentif kepada perniagaan kecil yang dikatakan belum boleh meraih keuntungan besar berbanding perniagaan dalam talian besar seperti Lazada, 11th Street, Zalora dan eBay.

Henry berkata agensi lain turut menawarkan program dan latihan kepada perniagaan kecil dalam talian iaitu Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC); agensi peneraju untuk memandu Malaysia ke arah ekonomi digital; dan SME Corporation Malaysia (SME Corp); agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) terlibat dalam perniagaan dalam talian.

"MDEC menawarkan program e-Usahawan di Institusi Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) awam yang terpilih di seluruh negara  untuk memberi tunjuk ajar kepada usahawan belia dan mikro dalam menggunakan platform digital dan media sosial untuk meningkatkan jualan dan meluaskan pasaran.

"SME Corp turut menawarkan latihan keusahawanan dan pemasaran dalam talian kepada peniaga PKS serta membantu dalam mengurangkan kos yuran penyertaan  PKS di platform e-dagang seperti Alibaba dan eBay," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai peruntukan kepada golongan yang baru menceburi perniagaan dalam talian, Henry berkata kementerian di bawah seliaan SSM turut mewujudkan program 'Young Entrepreneur Go' bagi menggalakkan golongan pelajar menceburi bidang perniagaan di samping mempertingkat kesedaran tentang kewajipan mendaftar perniagaan serta pengurusan perniagaan yang betul dalam kalangan pelajar.  

"Program ini yang mula berkuat kuasa 1 Jan lepas, menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang berminat menceburi bidang perniagaan dan kerajaan menyalurkan geran RM10 juta yang setakat ini masih terdapat lebihan geran sebanyak RM199,903," katanya.  
-- Bernama
SSM, Henry Sum

Artikel Sebelum

Arab Saudi Lancar Projek Laut Merah

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain