DIUJI dengan masalah kewangan secara tiba-tiba pasti membuatkan kita buntu dan tertekan.
Apatah lagi, masalah yang dialami turut mengganggu kehidupan harian seperti mana yang berlaku terhadap wanita ini.
Menerusi satu hantaran, pemilik akaun media sosial, @theashya_asri berkongsi masalah kewangan yang dihadapi sehingga terpaksa menggadai barang kemas.
“Hari ni keluar rumah niat nak gadai subang anak sebab tengah bulan poket kosong.
Loket rama-rama yang ditukar dengan rantai emas putih.
“Tergerak hati bawa sekali rantai emas putih lama, pakai pun tak boleh… kecil sangat.
“Nak gadai pun tak boleh sebelum ni. Saja tanya, tiba-tiba staf kata boleh trade in tanpa tambah apa-apa, dapat 'pendant' (loket) rama-rama viral,” coretnya.
Menganggap ia sebagai rezeki yang tidak disangka, dia turut menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang memiliki satu lagi koleksi emas walaupun bersaiz kecil.
“Syukur… memang rezeki Allah ini rahsia. Selalu tengok orang post, kita tak dapat pun merasa, hari ni merasa ‘rama-rama’ dengan zero money in account (tiada wang dalam akaun). Allah hadirkan juga simpanan ni,” tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Enggan gadai emas terakhir, suami merajuk keluar rumah! Isteri mula-mula berkeras, kini rasa bersalah
ARTIKEL BERKAITAN: Rider gigit jari, kawan ‘songlap’ barang kemas nilai RM2,000! Makin kecewa lepas isteri siasat di kedai pajak gadai
Berkongsi cerita dengan mStar, Asya Asri berkata, keadaan kewangannya pada masa ini hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja.
Pada masa sama suaminya yang berasal dari Syria memerlukan sejumlah wang untuk memperbaharui visa di Jabatan Imigresen.
“Situasi tu sebenarnya memang agak mencabar. Tengah bulan, kewangan memang dah cukup-cukup makan, tak ada yang lebih.
“Kebetulan pula, suami ada urusan dengan Imigresen dan perlu bayar visa. Jumlahnya bukan sedikit, jadi memang kena sediakan duit dalam masa terdekat.
Sedih sebab itu mak bagi, tapi masa tu fikirkan kalau simpan pun, nilai tak akan naik.
ASYA
“Saya ingat lagi, pagi tu saya belek barang kemas yang ada. Saya memang ada simpan emas sikit-sikit sebagai simpanan kecemasan,” ujarnya yang cuba mencari jalan untuk mendapatkan wang.
Susulan itu, dia membawa subang milik anak kecilnya untuk digadaikan bagi mendapatkan wang.
Dia yang berniaga kecil-kecilan menjual minyak wangi turut membawa rantai emas putih miliknya bagi mengetahui nilai terkini.
“Niat asal hanya nak gadai subang anak untuk dapatkan tunai. Bawa sekali rantai emas putih secara spontan, walaupun sebelum ini tak boleh gadai sebab nilai terlalu kecil dan tak cukup kewangan nak tambah.
Beberapa warga maya memberikan pandangan berhubung trade-in rantai emas putih.
“Staf kedai emas maklumkan boleh trade in dengan 'pendant' rama-rama viral 0.30 gram, tanpa tambah duit langsung.
“Saya datang dengan niat nak ambil tunai, tapi Allah ganti dengan rezeki yang lebih baik,” tambahnya yang akhirnya memperoleh lebih RM400 selepas menggadai kedua-dua barang kemas iaitu subang anak dan 'pendant' rama-rama.
Dia yang mesra disapa Asya berkata, meskipun nilai tersebut sikit, namun ia cukup untuk menampung belanja bulanan dan urusan visa suami.
Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa sayu kerana terpaksa melepaskan rantai emas putih pemberian ibunya yang telah berusia lebih 11 tahun.
Menurutnya, rantai tersebut adalah hadiah selepas dia menamatkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2014.
“Sedih sebab itu mak bagi, tapi masa tu fikirkan kalau simpan pun, nilai tak akan naik.
“Mak pun ada minta tukar, jadi kita ikutkan juga permohonan mak… cumanya selepas 11 tahun baru dapat,” luahnya lagi.