suria

Teman lelaki murah senyuman, bikin Gf cair! Jejaka Sungai Petani ini gigih naik motor demi beraya bersama kekasih di Terengganu

Ayu menghargai usaha Haikal untuk beraya bersama keluarganya di Kuala Terengganu.

DEMI membuktikan rasa cinta dan kasih, seseorang individu sanggup melakukan apa sahaja untuk pasangannya.

Begitulah juga yang dilakukan seorang lelaki ini apabila dia sanggup untuk berpuasa dan beraya di kampung teman wanitanya di Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurut Absarina Rohayu atau mesra disapa Ayu, dia terharu apabila kekasihnya, Shah Haikal, 23 sanggup merentas negeri dengan jarak kira-kira 416 kilometer (km) dari Kedah semata-mata untuk bersamanya sempena lebaran kali ini.

Ketika dihubungi mStar, gadis berusia 21 tahun ini menceritakan semula kisah manis di sebalik pengorbanan dilakukan Haikal sehingga hubungan mereka direstui keluarga Ayu.

"Saya dan Haikal sudah berkenalan setahun sebelum kami membuat keputusan untuk menjalinkan hubungan lebih serius pada tahun lepas. Kami jarang berjumpa walaupun bercinta. Setahun sekali atau dua kali saja berjumpa sebab jauh.

"Bulan Ogos tahun lepas dia sanggup naik bas datang Terengganu untuk berbincang lebih serius tentang hubungan kami. Masa itulah mak saya terima dia sebab Haikal orang pertama yang nampak bersungguh terhadap saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Potong ‘mood’ nak raya! Wanita mengeluh ipar-duai main ‘booking’ di rumah mentua, sampai lewat tetap dapat tidur dalam bilik

ARTIKEL BERKAITAN: Video mesra Khairulaming dengan wanita tersebar, ramai ‘broken’ terlepas peluang... Baju raya sedondon warna biru bikin peminat haru!

"Ayah pun dah anggap dia macam menantu sebab sama-sama sekampung berasal dari Kedah. Haikal ni pandai ambil hati semua dalam keluarga... sebab tu semua approved dia," ujar Ayu.

Bercerita lanjut mengenai kedatangan Haikal, Ayu berkata teman lelakinya itu menaiki motosikal Yamaha Lagenda 110 untuk ke Kuala Terengganu pada Ramadan ke-28.

Kata anak kedua daripada 10 adik beradik itu lagi, Haikal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah itu mengambil cuti selama seminggu bagi menunaikan hasratnya itu.

Ayu terharu dengan usaha Haikal untuk beraya bersamanya.

Selain mempunyai tugas di kilang, Haikal juga aktif mengambil upah melakukan kerja-kerja pendawaian di sekitar rumahnya secara sambilan.

"Haikal sudah beritahu mengenai cadangan itu sebelum bulan puasa lagi. Dia dah minta izin nak berbuka puasa dan beraya dengan keluarga saya. Dia datang dua hari sebelum raya untuk iftar bersama buat pertama kali.

"Hari Raya tahun lepas dia berhajat nak raya sekali tapi tak kesampaian sebab ada halangan jadi sebab itulah dia nekad tahun ni. Mulanya dia nak naik bas saja tapi tiket dah habis sampai Hari Raya ketiga.

Ayu dan Haikal memakai baju raya sedondon sempena menyambut Hari Raya tahun ini.

"Masa dia cakap nak naik motor datang sini saya tak bagi sebab jauh dan bahaya. Takut apa-apa perkara buruk terjadi dalam perjalanan tu. Tapi dia nekad juga. Sebelum dia bertolak, banyak juga dia habiskan duit baiki dan servis motor," imbas Ayu lagi.

Setelah segala persiapan dibuat termasuk membawa bekal minyak petrol sebagai persediaan, Haikal bertolak ke rumah Ayu seawal pukul 10 pagi.

Gara-gara bimbang dengan keselamatan Haikal, Ayu menggunakan sebuah aplikasi di dalam telefon pintarnya untuk memantau lokasi kekasihnya sepanjang perjalanannya ke Kuala Terengganu.

Saya gembira dan terharu sangat hajat Haikal nak berpuasa dan beraya dengan kami tercapai.

ABSARINA ROHAYU

"Saya tak nafikan memang jauh perjalanan Haikal nak ke sini. Dengan bulan puasa dalam cuaca terik sekarang ni memang membuatkan saya terharu dengan kegigihan dia. Berbuka puasa pun dia makan roti dan air saja sebelum sampai sini.

"Saya gembira dan terharu sangat hajat Haikal nak berpuasa dan beraya dengan kami tercapai. Haikal tinggal di sini sampai Hari Raya ke empat. Dia video call keluarganya di Kedah masa pagi Hari Raya tu.

"Pada Hari Raya pertama kami sama-sama pakai baju raya warna hitam. Kami sepakat beli baju sama sebab sudah berjanji sebelum dia datang Terengganu," jelas Ayu lagi.

Ayu dan Haikal sudah mengenali antara satu sama lain sejak dua tahun lalu.

Hingga kini video yang dikongsikan Ayu tentang kegigihan Haikal meraih lebih 1.6 juta tontonan di TikTok.

Rata-ratanya cemburu dan terharu dengan kegigihan lelaki tersebut dan mendoakan hubungan pasangan ini berkekalan sehingga akhir hayat.

"Lepas video tu tular, ramai yang berikan komen positif. Tapi ada juga beberapa komen tak baik lepas video tu viral. Tapi kami tak ambil serius dengan semua komen-komen tu.

"Haikal memang suka senyum, saya suka dengan senyuman dia. Saya tahu ramai yang cakap dia tak handsome tapi di mata saya dia cukup kacak. Saya pun bukannya cantik sangat.

"Yang komen pasal rupa tu sebenarnya saya rasa mungkin pandangan dia lain. Tapi tak baiklah kritik orang macam tu.

"Tapi saya faham maksud mereka. Tak apa nanti dia akan glow up. Haikal pun tak terasa orang mengata rupa dia. Tapi dia ok je walaupun saya tahu dia terasa," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain