suria

Kucing sesat tengah jalan, nyaris digilis lori 5 tan... Wanita hati mulia kutip bawa balik rumah, lega ‘emak angkat’ bagi menyusu

Kisah penemuan kucing comel ini dikongsi oleh seorang individu menerusi Facebook.

HASRAT seorang wanita untuk membeli barang dapur dengan anaknya terbantut gara-gara seekor kucing yang ditemui di tengah jalan raya.

Menurut Ibrisam Wossali, dia dan anak perempuannya terkejut tatkala melihat kucing comel itu di tengah jalan, malah cukup risau sekiranya ia dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Ujar wanita itu, dia terus menyelamatkan anak kucing berkenaan dan mengambil keputusan untuk membawa ia pulang ke rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu takut, kini hidup dengan kucing! Wanita ini reda 3 virus ragut nyawa si bulus kesayangan, cuma terkilan parcel untuknya lewat tiba

ARTIKEL BERKAITAN: Amboi! Kucing garang bertukar manja hanya selepas dipanggil ‘sayang’ - “Suami saya hadiahkan, tapi dia pun takut Ciko”

"Ini kisah saya jumpa anak bulus berada di tengah-tengah jalan yang sibuk. Pada masa saya dan anak perempuan sampai di tempat kejadian, kami berasa terkejut dan tergamam apabila ternampak anak bulus berada di tengah-tengah jalan raya.

"Pada masa yang sama lalu sebuah lori lima tan. Alhamdulillah anak bulus selamat walaupun nyaris kena langgar tadi. Mungkin anak bulus ni terjatuh dari kereta yang sedang bergerak.

kucing4

Kucing ini ditemui bersendirian di atas jalan raya.

"Biasalah apabila kita parking kereta dekat rumah, anak-anak bulus suka duduk dan bermain dalam enjin kereta. Niat untuk pergi beli barang-barang dapur saya batalkan sahaja.

"Saya ambil dan terus bawa balik ke rumah. Anak bulus ni saya anggarkan baru berusia sebulan lebih umurnya," ujarnya menerusi Facebook.

Menurut wanita itu lagi, dia sudah mempunyai seekor kucing yang dikenali sebagai Kelabu di rumahnya.

Semoga anak bulus ni membesar bersama adik-adik angkatnya di samping ibu angkatnya, Kelabu.

IBRISAM WOSSALI

Kebetulan, Kelabu juga baru melahirkan empat ekor anak, beberapa hari sebelum kejadian tersebut.

Tambahnya, walaupun pada awalnya Kelabu sukar menerima kehadiran kucing yang diselamatkannya, namun situasi itu mula berubah dua hari kemudian.

"Kat rumah saya, ada ibu kucing (Kelabu) baru tiga hari beranak. Ada empat ekor anaknya. Pada pertemuan pertama Kelabu agak marah dan tak terima kehadiran anak bulus yang saya jumpa tu.

"Setelah dua hari barulah Kelabu terima kehadiran anak bulus dan beri perhatian. Kini Kelabu dah mula beri susunya dan mula menjilat anak bulus ini," ceritanya lagi.

kuxing6

Kelabu yang baru melahirkan empat ekor anak kini mempunyai seekor lagi 'anak angkat' baharu.

Menurut Ibrisam, dia gembira dengan situasi itu, sekaligus meredakan tangisan anak kucing berkenaan yang ditemui sebatang kara di atas jalan raya.

"Alhamdulillah dah dapat emak angkat. Jika sebelum ini asyik menangis je. Saya beri susu pun dia kurang minum. Mungkin rindu kat mak dan adik beradiknya.

"Sekarang dah nampak ceria dan sentiasa berada di samping Kelabu. Semoga anak bulus ni membesar bersama adik-adik angkatnya di samping ibu angkatnya Kelabu.

"Terima kasih Kelabu kerana sudi menjadi emak baru dan menjaga anak angkatnya dengan sepenuh kasih sayang," ujar wanita itu lagi.

kucing3

Keadaan kucing ini ketika dibawa balik ke kediaman individu tersebut.

Kisah tersebut dikongsi menerusi group Facebook Kucing Sepahkan Apa Hari Ini? pada Ahad.

Rata-rata netizen turut menzahirkan rasa gembira dengan kisah tersebut, tak kurang juga yang mendoakan agar wanita itu dimurahkan rezeki atas sifat baiknya terhadap haiwan.

"Alhamdulillah. Dah ada rumah baru. Moga keluarga baru dimurahkan rezeki dan dirahmati selalu asbab ihsan yang tinggi kepada makhluk yang lemah.

"Alhamdulillah... semoga semua anak-anak bulus sihat dan semoga dimurahkan rezeki anda sekeluarga.

Allahuakhbar! Moga dibalas dengan sepenuh kebaikan dan rahmat buat anda. Amin," tulis beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain