suria

“Saya lagi suka jatuh” - Gadis berhijab seronok main skateboard... aurat, rahim dan peranakan antara isu terpaksa hadap!

Diyana mendedahkan dia baru sahaja menyertai satu pertandingan papan selaju di Putrajaya sekitar dua bulan lalu.

AKSI bersahaja gadis ini meluncur menggunakan papan selaju ternyata meraih perhatian ramai.

Namun, perjalanan Nurdiyana Athirah Kamarul Ariffin, 22, dalam aktiviti itu tidaklah semudah yang disangka, sebaliknya ia melalui proses yang cukup lama.

"Saya sebenarnya dah main skateboard sejak tingkatan tiga. Ketika itu, saya ikut-ikut kawan saja. Tiba-tiba rasa nak cuba belajar.

ARTIKEL BERKAITAN: Cun habis! Gadis lasak kejutkan warga TikTok dengan baju kurung pink, minta doa yang baik-baik - “Tak pernah lagi beraya pakai baju Melayu”

ARTIKEL BERKAITAN: Sempoi habis bakal ustazah ni, selamba pandu 4x4 rentas sungai... berbaju kurung pun redah je! - “Ayah perhati dari luar”

"Sepanjang belajar main skateboard, jatuh merupakan perkara biasa. Orang akan nampak macam teruk bila kami terjatuh, tapi saya lagi suka jatuh.

"Bila jatuh, ia memberi semangat untuk pelajari lagi trick-trick yang belum dikuasai. Tapi, saya bermain skateboard dalam tiga bulan saja, kemudian saya berhenti untuk fokus pelajaran.

"Pada tahun 2018 baru saya buat comeback dan mula aktif sertai pertandingan," ujarnya yang menetap di Klang, Selangor.

Senang disapa Diyana, graduan Politeknik Merlimau, Melaka itu turut berdeapan persepsi negatif gara-gara penglibatannya dalam sukan yang didominasi kaum lelaki.

diyana3

Diyana memiliki hampir 40,000 pengikut di aplikasi TiKTok.

Namun, dia berpendapat sukan itu bersifat universal dan sesuai disertai sesiapa sahaja, asalkan tahu menjaga batas-batas sebagai perempuan beragama Islam.

"Memang banyak orang cakap tak elok untuk perempuan main skateboard. Bila ada pandangan begini, saya cuba ubah persepsi mereka.

Hanya saya seorang peserta perempuan, saya terpaksa berlawan dengan hampir 50 peserta lelaki.

DIYANA

"Sukan ini bukan untuk lelaki saja. Saya nak buktikan bahawa perempuan pun boleh main skateboard. Selain itu, ada juga yang pandang serong kerana saya bertudung.

"Biarlah orang nak cakap apa. Pada saya, tiada masalah selagi kita jaga aurat dan batas-batas sebagai orang Islam," ujarnya.

Selain aktif dalam lapangan sukan itu, Diyana juga banyak berkongsi video menerusi laman sosial miliknya sejak beberapa tahun lalu.

Kata Diyana, dia bersyukur dengan sokongan yang diterima, namun dia juga tak terlepas menerima komen negatif.

"Saya selalu dapat soalan menerusi direct message (DM). Ramai yang minta ajar main skateboard. Saya selalu bermain skateboard di Seksyen 13, Shah Alam.

diyana4

Dia berpendapat sukan itu bersifat universal dan sesuai disertai sesiapa tanpa mengira status jantina.

"Malah, kami sebelum ini pernah buat event untuk ajar orang ramai main skateboard secara percuma. Kalau ada minat, boleh teruskan. Jangan main skateboard kerana nak ikut trend semata-mata.

"Selain sokongan yang diterima, ada juga yang komen negatif. Saya ada kongsi video yang menunjukkan saya terjatuh, ada yang komen mengenai kesan kepada rahim dan peranakan.

"Kalau ada yang tegur secara baik, sudah tentu saya terima dengan hati terbuka. Tapi jika ada yang menulis dengan negatif, saya buat tak tahu, saya tak nak balas komen mereka," ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Diyana mendedahkan dia baru sahaja menyertai satu pertandingan papan selaju di Putrajaya sekitar dua bulan lalu.

diyana2

Diyana merupakan graduan Politeknik Merlimau, Melaka.

Biarpun tidak meraih kejayaan, dia menganggap penglibatan itu sebagai kenangan bermakna dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Saya fikir nak join dalam kategori beginner, tapi tak lepas disebabkan usia saya. Nak tak nak, saya kena bertanding dalam kategori terbuka.

"Rupa-rupanya hanya saya seorang peserta perempuan, saya terpaksa berlawan dengan hampir 50 peserta lelaki. Biarpun tak menang, saya anggap ia pengalaman berharga.

"InsyaAllah saya berhasrat untuk sertai lebih banyak pertandingan tahun ini," ujarnya yang kini bekerja dalam bahagian kewangan di sebuah syarikat.

Untuk rekod, Diyanah memiliki hampir 40,000 pengikut di aplikasi TiKTok.

Selain itu, dia juga turut berkongsi video aktiviti papan selaju menerusi YouTube, Twitter dan Instagram.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain