suria

Dua pasangan Raja Sehari riang ‘main’ banjir pakai baju sewa, ramai panas hati tengok... fikir nasib butik pengantin!

Sesi fotografi dua pasangan pengantin di Kampung Pengkalan di Alor Gajah, Melaka, Sabtu lalu.

MUSIM banjir merupakan dugaan buat pengantin yang melangsungkan majlis perkahwinan mereka.

Namun, ia bukan menjadi penghalang buat dua pasangan pengantin apabila video yang tular menunjukkan mereka tetap ceria dan tersenyum meredah banjir.

"Habislah rosak baju tu."

ARTIKEL BERKAITAN: "Penat tapi kenalah buat juga" - Pengantin 'murah senyuman' tetap menonjol di hari bahagia, video tenang dalam banjir raih lebih 7 juta tontonan

ARTIKEL BERKAITAN: Dah selamat nikah, pengantin batal majlis kahwin saat akhir! Kesedihan terubat dapat jamu lauk kenduri buat mangsa banjir

"Kasihan kat butik sewa baju tu. Baju kena basuh," demikian antara komen netizen.

Bercakap kepada mStar, salah seorang pengantin, Nor Hanani Ghapar memberitahu, video yang tular itu dirakamkan sewaktu sesi fotografi selepas majlis persandingannya pada 1 Januari lalu.

Dilangsungkan di kediaman keluarga di Kampung Pengkalan di Alor Gajah, Melaka, wanita berusia 26 tahun itu berkata, penggambaran melibatkan suaminya, Boy Jovi Darwitafmel, 27, berserta adik lelakinya, Muhammad Lizam Ghapar, 21, dan isteri, Norazwani Redzuan, 23.

pengantin redah banjir 4

Nanie (dua, kiri) bersama suami serta adik lelakinya (kanan) dan isteri di pelamin.

"Saya sebenarnya bernikah pada 12 Februari 2021, tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0 ketika itu jadi tak dapat buat majlis.

"Adik lelaki pula bernikah pada 12 Disember 2021. Ayah kemudian tetapkan 1 Januari 2022 untuk kami adik-beradik bersanding serentak di pelamin bersama pasangan masing-masing dalam satu majlis," katanya ketika dihubungi.

pengantin redah banjir 3

Banjir di paras buku lali.

Lebih mesra disapa Nanie, katanya, kawasan sekitar kampungnya dilanda banjir pada hari pertama tahun baharu itu dengan air mencecah paras lutut.

"Syukur Alhamdulillah, kedudukan rumah keluarga saya agak tinggi jadi tidak terjejas dengan banjir. Mujur ada laluan lain untuk ke rumah yang tidak terjejas.

"Walau bagaimanapun bekalan elektrik terputus di kawasan perumahan kami sejak pukul 12 tengah hari. Walaupun pelamin diletakkan di luar rumah, tapi masih bergelap dan tak ada kipas," ujarnya yang berasal dari Alor Gajah, Melaka.

pengantin redah banjir 2

Nanie tetap ceria meskipun banjir berlaku ketika majlis persandingannya.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, mereka berempat sebagai pengantin setuju untuk meredah banjir demi sesi fotografi kerana kawasan tersebut tidak jauh dari rumahnya.

"Jarak dari rumah kami ke kawasan yang dilanda banjir kalau berjalan kaki hanya seminit. Nak ambil gambar indoor (di dalam) gelap sebab tak ada bekalan elektrik.

Lepas sesi fotografi, kami tukar baju dan mak andam hantar baju ke kedai dobi. Baju tu cuma basah je. Tiada kesan lumpur dan tak rosak

NOR HANANI GHAPAR

"Di luar rumah pula ada ramai tetamu. Jadi kami perlu berjalan dari kawasan rumah untuk sesi fotografi. Ada kawasan banjir paras buku lali dan ada cecah lutut," ujar kerani itu mengenai sesi fotografi yang dilakukan di sebelah petang.

Dalam pada itu, Nanie yang juga mengusahakan bisnes produk kecantikan dan kesihatan secara dalam talian mengakui kesemua busana yang dipakai mereka disewa dari sebuah butik pengantin membabitkan kos keseluruhan hampir RM2,000.

pengantin redah banjir 5

Nanie (kanan) bersama suami melakukan sesi fotografi.

"Saya tahu ramai yang kritik tentang baju yang kami sewa. Sebenarnya kami terlebih dahulu meminta izin daripada pemilik butik dan kebenaran diberikan untuk fotografi ketika banjir.

"Bagi kami ini adalah rezeki apabila kami dapat butik pengantin yang memahami dan sporting. Lepas sesi fotografi, kami tukar baju dan mak andam hantar baju ke kedai dobi.

"Baju tu cuma basah je. Tiada kesan lumpur dan tak rosak. Alhamdulillah, majlis kami berjalan lancar meskipun kawasan sekitar dilanda banjir dan terputus bekalan elektrik yang hanya disambung semula pada sebelah malam.

"Terima kasih kepada butik pengantin yang beri kerjasama dengan baik. Syukur juga cuaca mendung, kalau panas terik dah tentu kami semua 'berlecak' peluh," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain