suria

Selepas berbulan ditahan di rumah mayat, akhirnya usaha nak ‘lepas’ jenazah ke Bangladesh selesai dalam beberapa jam

Hanya beberapa jam membuat hebahan mengenai jenazah seorang warga Bangladesh, Uncle Kentang berjaya mengutip sumbangan orang ramai bagi membantu urusan penghantaran pulang si mati ke negara asalnya. (Gambar sekadar hiasan)

JIKA disebut nama penuhnya Kuan Chee Heng, mungkin ia agak asing di telinga kebanyakan orang.

Namun jika sebut sahaja Uncle Kentang, automatik minda terus terbayang sosok lelaki bertubuh tinggi dan gempal yang kerap kali turun padang menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Uncle Kentang juga sangat aktif mengemas kini sebarang maklumat atau hebahan bagi mendapatkan dana sumbangan orang ramai demi membantu mereka yang memerlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kira agama, Uncle Kentang bantu urus kebumi jenazah menjelang 1 Syawal termasuk bayi 5 bulan dah 14 hari meninggal dunia! Ramai doakan dapat hidayah

ARTIKEL BERKAITAN: “Duit belakang kira...” - Wanita buat panggilan dari bilik mayat, Uncle Kentang senyum kenangkan ganjaran selepas beri bantuan

Mungkin kerana keikhlasan dan kesungguhannya dalam membela nasib golongan berkenaan, apa sahaja hebahan memohon sumbangan yang dikongsikannya mendapat respon pantas daripada netizen yang tidak lokek menyalurkan bantuan.

Terbaharu, Uncle Kentang membuat perkongsian mengenai jenazah seorang Islam warganegara Bangladesh yang sudah hampir lima bulan tersimpan di rumah mayat sebuah hospital.



Posting Uncle Kentang yang memohon sumbangan orang ramai bagi membantu urusan penghantaran pulang jenazah seorang warga Bangladesh.

Menurutnya, jenazah itu belum boleh dihantar pulang ke negara asalnya kerana perlu menyelesaikan dahulu bil yang tertunggak.

"Ada jenazah warga Bangladesh agama Islam disimpan semenjak April 2020 di hospital kerana bil masih tak dapat dibayar.

"Bil tertunggak RM5,000 namun hospital minta RM2,500 sekurang-kurangnya untuk jelaskan bil sebelum boleh ambil mayat," tulis Uncle Kentang pada perkongsian berkenaan.

Menurutnya lagi, duit yang dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai akan diserahkan kepada hospital berkenaan.



Tangkap layar (screenshot) sebahagian komen netizen yang bermurah hati memberi sumbangan untuk membantu urusan penghantaran pulang jenazah.

"Jom kita kutip RM2,500 dan serah pada hospital agar dapat lepaskan jenazah warga Bangladesh tersebut. Jenazah akan dihantar pulang ke Bangladesh untuk dikebumikan kerana prosedur kedutaan.

"Kita pakat-pakat derma seorang RM10 pada pagi Jumaat ini agar jenazah dapat disemadikan.

"Kawan-kawan Bangladesh ini dah kutip untuk proses hantar pulang. Hanya bil hospital belum settle aja.

"Jom kita kasi kutip dan bantulah si mati ini," tulisnya lagi.



Uncle Kentang sememangnya dikenali ramai kerana aktif turun padang membantu golongan yang memerlukan.

Perkongsian tersebut mendapat maklum balas yang pantas daripada netizen apabila ruangan komennya dipenuhi dengan imej tangkap layar (screenshot) paparan slip bank, menandakan mereka sudah menderma untuk membantu si mati.

Beberapa jam kemudian, Uncle Kentang mengemas kini perkongsian tersebut dengan memaklumkan saluran derma tersebut telah ditutup kerana jumlah kutipan sudah mencukupi.

Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 154 shares di Facebook dan ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain