Dua kali dengar bunyi, kereta berpusing sebelum terhenti tengah highway... kiri kanan treler laju - “Tengok rakaman, siapa pun tak sangka selamat”

Nyawa empat sekeluarga hampir melayang gara-gara terlanggar kepingan besi di atas lebuh raya.

BERPANTANG maut sebelum ajal!

Itulah peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan situasi keluarga ini yang berdepan dengan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan selepas terlanggar kepingan besi.

Menerusi rakaman video yang kini tular di Twitter itu, kenderaan yang dinaiki keluarga ini berpusing 360 darjah selepas terlanggar besi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Takut tengok! Dahan sebesar paha tembus cermin kereta, nyaris terjah muka - “Ratusan kenderaan yang lalu, ditakdirkan aku mengharungi ujian ini seorang diri”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya jerit sekuat hati panggil namanya” - Kereta terbabas sebelum terbalik... ‘hati kering’ guna car seat selamat nyawa anak

Lebih ngeri, kenderaan yang terhenti di tengah-tengah lebuh raya itu hampir sahaja dihentam treler dan kenderaan lain yang bertali arus.

Sehingga kini, perkongsian berkenaan meraih 20,100 retweet dan lebih 25,000 like selain dihujani ratusan komen netizen.



Rakaman video insiden kemalangan yang dialami Noor Hazuan dimuatnaik di Twitter oleh anaknya.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemandu kenderaan berkenaan, Noor Hazuan Othman menyifatkan apa yang berlaku tiga hari lalu itu sebagai tanda kekuasaan Allah.

"Kalau dilihat daripada rakaman dashcam, memang siapa pun tak sangka selamat. Namun semuanya kerana pertolongan Allah. Kalau tiada pertolongan-Nya, habis kami semua.

"Alhamdulillah, kami masih berada dalam lindungan Allah," kata lelaki berusia 54 tahun ini.



Kepingan besi yang tersangkut di tayar belakang menjadi punca kemalangan yang dialami empat beranak ini.

Mengimbas kembali detik cemas berkenaan, Noor Hazuan berkata ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan dari Skudai menuju ke Seri Ledang, Johor.

"Ketika itu sudah menginjak malam, lebih kurang pukul 7.30 malam. Semasa memandu, saya ada terdengar bunyi dua kali.

"Tiba di tempat kejadian, terus dengar bunyi yang kuat dan serentak itu kereta berpusing 360 darjah dan berhenti di tengah-tengah lebuh raya.

"Mujur saya tak tekan pedal apa-apa dan hanya kawal stereng saja. Kiri kanan treler dan kenderaan lain laju-laju dan mujur mereka dapat elak. Syukur sangat kami semua selamat dan dipanjangkan umur," katanya yang merupakan pekerja sektor swasta.

Sehingga kini tak pasti itu kepingan besi lori atau besi jalan. Bagaimanapun, saya sudah membuat aduan dan laporan kepada pihak konsesi dan mereka sedang menyiasat perkara ini.

NOOR HAZUAN OTHMAN

Menurut Noor Hazuan, hasil pemeriksaan mendapati punca kemalangan disebabkan kepingan besi yang ada di jalan sehingga ia tersekat di bahagian absorber bahagian tayar belakang.

"Sehingga kini tak pasti itu kepingan besi lori atau besi jalan. Saya sudah membuat aduan dan laporan kepada pihak konsesi dan mereka sedang menyiasat perkara ini," katanya lagi.



Kesan kerosakan dapat dilihat selepas kepingan besi dikeluarkan dari tayar.

Sungguh pun rasa terkejut dan trauma yang dihadapi kini beransur reda, Noor Hazuan berkata insiden berkenaan tidak akan dilupakan seumur hidupnya.

"Kalau ikutkan, ini kali ketiga saya pernah alami kemalangan. Kejadian pertama, ketika saya remaja dahulu di mana van yang dinaiki terbalik. Begitu juga kejadian kedua, bas yang dinaiki untuk pulang ke kampung turut terbalik.



Antara komen netizen yang turut sama memberi pandangan susulan insiden dialami Noor Hazuan.

"Yang ketiga, bagi saya ia adalah insiden yang paling tak dapat dilupakan sebab saya yang memandu. Apa pun, amalkan sikap cermat ketika memandu.

"Kita tak tahu bahaya yang akan datang. Kemalangan ini bukan saja disebabkan sikap pengguna, tapi ada faktor lain seperti objek atas jalan, angin lintang dan sebagainya. Kena beringat selalu," katanya menutup bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
treler, besi, nyawa, ajal, besi

Artikel Berkaitan

Artikel Lain