suria

Puas tahan kereta semua tak berhenti, polis pula kasi saman! Akhirnya motor naik motor bukti kasihnya sahabat

Sahabat sejati ada ketika susah, bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban.

BETULLAH bak kata orang... kawan ketawa mudah dicari, tetapi sahabat sejati sukar untuk diganti.

Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Demikianlah perumpamaan yang sesuai digambarkan akan hubungan persahabatan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam kembar hilang adik, sahabat dilanggar lori depan mata... Dia sempat pesan, “kalau aku tak ada tolong tengokkan mak ayah”

Satu perkongsian yang dimuat naik oleh seorang lelaki di akaun twitter miliknya @eriemzni pada Ahad lalu dengan kapsyen, 'kawan macam ni kita kena hargai' menjadi tular.

Posting yang dimuat naik oleh Erie di laman Twitter miliknya.

Video berdurasi 0:07 saat itu, memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil dibonceng rakannya yang 'meriba' motosikal akibat kerosakkan di lebuh raya menghala ke ibu kota.

Perkongsian tersebut bagaimanapun menarik perhatian ramai apabila ia meraih kira-kira 2,500 ulang kicau (retweet) dan 1,700 tanda suka (likes).

Menurut Tengku Muhd Erie Tengku Mohd Muzani, 20, ketika kejadian dia bersama 13 orang rakannya dalam perjalan ke Senawang, Negeri Sembilan untuk makan malam selepas sekian lama mereka tidak meluangkan masa bersama.

"Malam Sabtu tu, masa dalam perjalanan tu semua okay tak ada masalah sampailah ke RnR (hentian rehat dan rawat) Seremban. Lepas tu kami tunggu kawan-kawan yang lain sampai. Apabila masing-masing buka WhatsApp, ada sorang kawan ni dia cakap dia tersadai dekat simpang Kajang seorang diri sebab motor rosak.

"Lepas tu bila fikir kesiankan dia, kami pun batalkan plan makan malam tu dan patah balik balik pergi dekat dia," katanya ketika dihubungi mStar.

Shafian (baju merah) yang merupakan pemilik motosikal yang rosak pada malam kejadian.

Jelas Muhd Erie yang bekerja sebagai penghantar barang di syarikat Lazada Express, sebaik sahaja sampai di tempat rakannya tersadai mereka kemudiannya memeriksa keadaan motorsikal tersebut jika terdapat sebarang kerosakkan.

Namun, mereka mendapati tayar belakang kenderaan tersebut tidak boleh bergerak seperti ada sesuatu yang tersangkut padanya.

"Masa sampai tu semua check motor dia, rupa-rupanya tayar belakang tak boleh pusing macam ada tersangkut. Kami syak bearing belakang yang pecah sebab tu tayar tak boleh pusing. 

Kemudian masing-masing keluarkan peralatan sebab nak tolong betulkan motor tu, tapi skru tu ketat sangat... susah," kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Tambah Erie, keadaan sedikit reda apabila mereka terlihat sebuah kereta polis datang ke arah tempat mereka berkumpul dan memberhentikan kenderaan.

Mula-mula nampak kereta polis tu, rasa lega sangat mungkin polis tu boleh tolong kami. Tapi lain pula jadinya, bila dia keluarkan saman...

TENGKU MUHD ERIE 

PENGHANTAR BARANG

Namun apa yang diharapkan tidak berlaku, sebaliknya polis tersebut mengeluarkan beberapa keping saman ke atas dirinya serta rakan-rakan yang lain.

"Mula-mula nampak kereta polis tu, rasa lega sangat mungkin polis tu boleh tolong kami. Tapi lain pula jadinya, bila dia keluarkan saman sebab ada diantara kami tak bawa cukai jalan dengan nombor pendaftaran di bahagian depan ada yang tak pasang... sekali dengan saya kena.

"Okaylah nak buat macam mana salah kami juga. Lepastu kami tanyalah dia highway plus tu boleh tolong ke? Dan dia jawab, kalau motor highway plus tak tolong sebab motor tak bayar tol," kongsi anak kelahiran Bandar Baru Sentu, Kuala Lumpur itu.

Katanya lagi, pelbagai cara yang telah dilakukan oleh mereka termasuklah menahan kenderaan yang boleh memuatkan motosikal tersebut. Namun hampa, tiada seorang pun yang mahu menghulurkan pertolongan.

Motosikal milik rakannya yang diangkut mereka pada malam tersebut.

"Kami pun dah tak tahu nak buat apa lagi, lebih kurang dua jam kami kat tepi highway tu. Sampailah kami sanggup tebalkan muka untuk tahan kereta yang agak besar untuk sumbat motor kat belakang. Tapi itulah, langsung.. takda seorang yang berhenti nak tolong," luah Erie yang sedikit kesal dengan sikap masyarakat kita.

Katanya, terfikir juga untuk menghubungi rakan-rakan lain yang berada di sekitar Kuala Lumpur, namun terus sahaja dia membatalkan niatnya. Ini kerana untuk membaiki motosikal tersebut memerlukan peralatan yang boleh didapati di bengkel sahaja.

Mereka akhirnya sebulat suara bersetuju untuk membawa sendiri motosikal tersebut pulang dengan meletakkan ia atas motosikal rakannya yang lain.

"Mungkin orang cakap ini idea gila dan tindakan kami boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. Tapi itu sahaja cara yang kami ada dan boleh lakukan.

"Bila semua okay, kami ramai-ramai angkat motor tu letak di tengah-tengah. Lepas tu kami minta kawan yang badan agak sado untuk pegang dan motor tu untuk dibawa balik ke KL," ujar Erie.

Gambar selepas kejadian, mereka tetap meluangkan masa bersama di restoran makanan segera berdekatan.

Erie juga bersyukur sepanjang perjalanan membawa pulang motosikal tersebut, semuanya dalam keadaan terkawal dan selamat. Malah dia bersama-sama rakannya yang lain turut membantu mengawal lalu lintas pada malam itu.

"Syukur, semua selamat. Motor tu kami bawa terus pulang ke rumah dia. Kalau tengok malam tu, kawan saya yang motor rosak tu happy sangat bila dia nampak kawan-kawan sanggup susah sama-sama.

"Dia pun lepas kami hantar ada juga belanja makan. Entahlah, kadang-kadang masyarakat kita ni cepat sangat nak tunding jari. Bila nampak lelaki ramai-ramai naik motor terus cakap 'mat rempit'. Lepas tu ada yang sampai tak nak tolong," luah Erie yang sedikit kecewa dengan sikap segelintir masyarakat kita.

Susulan dengan tindakan ikhlas 13 sahabat ini, rata-rata netizen meninggalkan respons yang positif akan hubungan persahabatan mereka. Malah terdapat juga individu yang turut sama berkongsi pengalaman yang mereka pernah lalui.

"Pernah terfikir, suatu hari nanti nak belajar bawa kereta Hilux ke lori ke apa ke. Bila tengok kawan-kawan susah macam ni, aku boleh tolong walaupun aku perempuan pun.

"Sebab pernah juga tunda motor kawan dekat highway, kaki sakit tapi puas hati, tak tahu kenapa," kata seorang netizen menerusi ruangan komen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sahabat, motosikal

Artikel Lain