suria

Keluarga terkejut budak nakal, kaki buli menangis sebab solat... keluarga pun kena sound “tak nak sembahyang ke?”

Aqmal Rafael atau Pael merupakan seorang yang periang dan ceria.

DUNIA kanak-kanak semestinya penuh dengan kegembiraan yang mana mereka tidak perlu memikirkan apa-apa masalah, baik yang remeh atau yang besar.

Jika ada sesuatu yang menggembirakan, mereka akan ketawa riang tetapi jika ada yang tidak kena, maka menangislah mereka mengadu kepada ibu bapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangisan dalam kegembiraan! Drama queen umur 8 tahun berjurai air mata dapat ‘pengganti’ Taeyang - “Abah, kakak berterima kasih...”

Baru-baru ini tular satu posting yang dimuatnaik Nur Ain Nabilah Zul Hafidz, 20, di akaun Twitternya dengan kapsyen, 'Ayah dah risau tengok Pael menangis masa nak ambil dia balik dari sekolah. Ingatkan kena buli, rupanya menangis sebab kawan dia solat tak tunggu dia'.

Posting yang memaparkan sebuah video berdurasi 0:27 saat itu dimuatnaik pada Khamis mendapat perhatian ramai dengan meraih kira-kira 13,900 ulang kicau (retweet) dan 13,000 suka (likes).

Posting yang tular di laman Twitter dimuatnaik oleh Nur Ain Nabillah.

Menurut gadis kelahiran Johor Bahru ini, adiknya Aqmal Rafael, 7, atau lebih mesra disapa 'Pael' menangis ketika dijemput oleh bapanya semasa pulang dari sekolah pada Khamis.

Risau jika diapa-apakan semasa sesi persekolahan, bapanya terus bertanyakan sebab mengapa kanak-kanak tahun satu itu menangis teresak-esak.

"Pelik juga kenapa dia menangis, sebab sebelum ni Pael mana pernah menangis setiap kali pulang sekolah. Bila ayah tanya, dia cakap sebab 'kawan cakap dia tunggu kat surau, tengok-tengok dia dah sembahyang dah'... kelakar juga mula tu.

"Pael ni sebenarnya nakal sikit, tak pernah nak duduk diam, suka buli dan kacau kakak dengan abang dia. Biasalah budak-budak memang nakal. Tapi itulah, sejak akhir-akhir ni bila dia masuk darjah satu, dia dah mula ikut orang sembahyang jemaah sama-sama kalau kat rumah," kata gadis ini ketika dihubungi mStar.

Tambah Ain lagi, video drama air mata kanak-kanak itu diambil oleh bapanya dan kemudian dikongsi di dalam grup WhatsApp keluarga sehingga mengundang ketawa ahli keluarga yang lain.

Kalau dalam keluarga, dialah yang selalu tegur. Tambah-tambah kalau dia nampak kitaorang lambat sembahyang, nanti dia yang tolong ingatkan. Dia akan tanya, tak nak sembahyang ke?

NUR AIN NABILLAH

PELAJAR KOLEJ KPJ, JOHOR BAHRU

Mana tidaknya sikap Pael dalam video itu dilihat sangat berbeza dengan perwatakannya ketika di rumah.

"Mula-mula rasa macam tak sangka, yalah kita tengok perangai dia kat rumah dia macam nakal, tiba-tiba hanya sebab dia tak dapat sembahyang jemaah dengan kawan, dia menangis. Rasa terkejut pun ada. Mak adalah gurau sambil cakap, 'sejuk perut mak mengandungkan Pael' kat dia," kata gadis ini.

Merupakan anak bongsu daripada lapan beradik, Pael dikatakan seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif, dan sikapnya itu membuatkan orang sekeliling senang dengannya.

Rata-rata netizen meninggalkan kata-kata positif di ruangan komen posting tersebut.

"Kalau dia (Pael) nampak orang sembahyang, walaupun dia tak pandai dia tetap ikut juga. Lama-lama baru dia pandai. Selalunya waktu Maghrib, kami tunggu mak balik kerja, lepas tu sembahyang jemaah sama-sama.

"Kalau dalam keluarga, dialah yang selalu tegur. Tambah-tambah kalau dia nampak kami lambat sembahyang, nanti dia yang tolong ingatkan. Dia akan tanya, tak nak sembahyang ke?" kongsi Ain yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Kejururawatan di Kolej Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ Cawangan Johor Bahru.

Walaupun begitu, menurut gadis ini adiknya pernah dibuli di sekolah dan itu yang membuatkan dia bertambah risau ketika menerima video tangisan adik bongsunya itu.

"Saya dapat tahu yang Pael pernah dibuli kat sekolah dulu dengan kawan dia. Sebab tu bila tengok dia nangis macam tu, kami risau kalau-kalau dia dibuli lagi.

Aqmal Rafael (kiri, depan) bersama ahli keluarganya.

"Sebab Pael ni jenis yang kalau kena buli kat sekolah, kalau orang buat dia, dia takut nak buat orang tu balik dan dia akan diam tak melawan. Tapi kalau kat rumah dia suka kacau orang," kongsinya lagi.

Jelas Ain lagi, dia akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat adiknya dan sentiasa menghormati kedua ibu bapa.

"Saya harap dia terus macam inilah, sedih bila tak dapat sembahyang sama-sama, selalulah jaga solat dan jadilah anak yang baik kepada mak dan ayah," nasihat Ain buat adik bongsunya itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kanak-kanak, menangis, sembahyang

Artikel Lain