Orang lain nak cepat sampai, bro ni kerjanya tunggu kereta rosak 2 hari sebelum raya, “Bukan semua orang ada duit nak balik kampung” - Viral | mStar

Orang lain nak cepat sampai, bro ni kerjanya tunggu kereta rosak 2 hari sebelum raya, “Bukan semua orang ada duit nak balik kampung”

Mohd Zafran memberi bantuan trak tunda kepada kenderaan rosak di laluan Kuala Krai sehinggalah ke Kota Bharu buat kali keduanya bulan depan. Foto ihsan Mohd Zafran

"SAYA nak orang saya tolong tu seronok masa balik kampung nak sambut raya."

Demikian kata Mohd Zafran Yaso'a, pengendali trak tunda yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan bermula 3, 4 dan 5 Jun ini.

Pemilik syarikat ZeckZoro Enterprise itu berkata, perkhidmatan itu ditawarkan kepada pengguna di laluan sekitar Sungai Sam, Kuala Krai sehinggalah Kota Bharu, Kelantan yang kurang berkemampuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Trak Tunda Terbakar Semasa Tarik Pesawat

ARTIKEL BERKAITAN: Trak Tunda Langgar Pesawat Di Glasgow

Walaupun kos yang perlu ditanggung agak tinggi, Mohd Zafran berkata, dia terpanggil untuk menawarkan perkhidmatan itu semula kali ini selepas tersentuh melihat kesusahan yang dialami perantau semasa pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri sebelum ini.

"Kalau ikutkan kos dalam RM2,000 hingga RM3,000. Tapi saya sebenarnya ikhlas nak bantu anak-anak perantau balik kampung, maklumlah sekarang ekonomi pun tak bagus. Jadi apa yang saya lakukan ini bolehlah bantu meringankan beban mereka.

Posting Mohd Zafran tular di Facebook.

"Bukan semua orang ada duit nak balik kampung. Ada yang cuma ada RM500... kalau tiba-tiba kereta rosak kena baiki RM500 tu habis melayang. Saya sendiri pernah melalui rasa susah itu.

"Bila balik kampung kena macam ni jadi tak seronoklah. Jadi saya nak menggembirakan orang dalam kesusahan masa balik raya. Suasana raya ni lain... siapa-siapa pasti seronok bila balik kampung," katanya kepada mStar.

Berbeza dengan tahun lalu, pemuda berasal dari Kampung Dewa Beta, Kota Bharu itu akan meneruskan program amalnya dengan dibantu dua trak tunda sepanjang tiga hari itu.

"Tahun lalu saya hanya guna satu trak tunda. Saya dapat bantu kira-kira 25 kereta seingat saya dalam tempoh dua hari. Sambutan amat menggalakkan sampai ada tak termampu saya ambil.

"Perjalanan dari Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu memakan masa dua jam pada musim perayaan. Jadi kita nak patah balik dari Kota Bharu ke Kuala Krai tu ambil masa. Itu yang kita tak dapat nak tolong disebabkan masa dan jarak.

"Jadi kali ini saya sediakan dua trak tunda untuk memudahkan dan melancarkan bantuan melibatkan kenderaan yang rosak. Sebuah akan standby di Kota Bharu manakala sebuah lagi di Kuala Krai. Jadi saya boleh gilir-gilir masuk bantu," katanya.

Mohd Zafran akan menggunakan dua trak tunda untuk kali ini. Foto ihsan Mohd Zafran

Ditanya mengenai kenangan yang tidak dapat dilupakan semasa menawarkan perkhidmatan itu tahun lalu, Mohd Zafran berkata dia tersentuh melihat nasib tiga beranak yang berdepan dengan masalah kereta rosak di pagi Syawal.

"Ada satu keluarga ni, tiga beranak dari Kuala Lumpur nak balik kampung (Kota Bahru) kereta mereka alami kerosakan dekat Sungai Durian, Kuala Krai. Ada trak tunda berhenti dekat dia nak bantu tapi harga towing RM500 ke RM600 tu agak tinggi bagi dia.

"Dia kata hanya ada RM200. Waktu tu dia bersama dengan isteri dan anak kecil lebih kurang tiga empat bulan menangis dalam kereta. Jadi ada orang bagi dia nombor telefon saya dan dia hubungi saya.

Bukan semua orang ada duit nak balik kampung. Ada yang cuma ada RM500... kalau tiba-tiba kereta rosak kena baiki RM500 tu habis melayang. Saya sendiri pernah melalui rasa susah itu.

MOHD ZAFRAN YASO'A

Pengendali trak tunda percuma

"Saya cakap kereta towing dari Kota Bahru sebab budak saya bawa jadi kena tunggu sikit. Saya tanya dia dekat mana. Dia kata duduk tepi jalan masa tu pukul 4 pagi. Saya pun pergi tengok mereka dulu sebab dekat dengan rumah saya.

"Bila sampai tu saya tengok mereka dekat tepi jalan. Alahai ada anak kecik kesian pula. Dia kata kat saya cuma ada RM200 sahaja. Hati saya sebak melihat keadaan mereka. Riak wajah mereka masih saya ingat sampai hari ini," katanya.

Posting Mohd Zafran mengenai perkara itu menjadi tular di Facebook beberapa hari lalu.

Antara komen netizen mengenai niat murni Mohd Zafran.

Rata-rata netizen memberi reaksi positif dan memuji niat murni bapa kepada lima anak itu.

Ditanya mengenai reaksinya mengenai perkara itu, Mohd Zafran berterima kasih di atas segala sokongan dan reaksi positif netizen.

"Saya kalau boleh tak nak orang viralkan saya. Saya cuma nak tolong seikhlas hati. Tapi kalau tak viral tak boleh juga sebab orang kena tahu nombor telefon.

"Saya tak sangka ada orang share post saya dekat Facebook. Terima kasih di atas segala komen positif. Insya-Allah saya akan terus bantu mereka yang amat memerlukan. Itulah nawaitu saya," katanya.

Sesiapa yang mengalami kerosakan kenderaaan sepanjang tiga hari tersebut bolehlah menghubungi Mohd Zafran di talian 0134885886 atau 09-9665886.

Artikel Lain