Anggota bomba dipanggil untuk ‘tangkap’ seekor cacing - Viral | mStar

Anggota bomba dipanggil untuk ‘tangkap’ seekor cacing

Inilah cacing yang ditangkap oleh pasukan bomba sukarela Saujana Utama. - Facebook

SIAPA yang tak gelabah apabila berdepan tetamu tidak diundang yang boleh membahayakan nyawa?

Sebaik menerima panggilan daripada seorang penduduk di Sungai Buloh, Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi kejadian yang disangka untuk menangkap seekor ular dalam rumah penghuni berkenaan.

Namun, ular yang ditemui oleh pasukan bomba tersebut rupa-rupanya bukan daripada keluarga reptilia dan hanya bersaiz sepanjang 12cm.

Perkongsian mengenai insiden itu tular selepas dimuat naik di Facebook oleh Balai Bomba Dan Penyelamat Sungai Buloh pada Rabu lalu.

Cacing ini dianggarkan bersaiz sepanjang 12cm. - Facebook

Posting tersebut turut menarik beberapa pengguna Facebook untuk meninggalkan komen berbaur jenaka berkaitan insiden itu.

Pemilik akaun Akmal Mahfar berkata, pengadu mungkin akan menghubungi pihak bomba sekali lagi untuk memaklumkan tentang haiwan lain yang disangka sebagai harimau.

"Esok dia call (hubungi) lagi, jumpa harimau curi ikan dia dekat dapur," tulisnya yang dipercayai merujuk kepada kucing.

Sementara itu, Sarah Amirah pula berkata: "Rumah aku ni banyak buaya di dinding, aku uruskan sendiri je... setakat ular macam tu kau panggil bomba, memang mengada-ngada."

Kami memang dilatih dan diajar semasa latihan bomba lagi untuk tetap membantu masyarakat sebagai pelanggan terbesar kami.

AHMMAD HAZRIN

Manakala, Hafiz Hashim pula memuji sikap pasukan bomba yang sentiasa komited ketika menjalankan tugas.

"Alhamdulillah... Terbaik abang bomba. Bersabar dan reda dalam melakukan tugas.

"Semoga abang-abang bomba mendapat rezeki yang murah dan dikurniakan kesihatan sihat yang selalu," tulisnya di ruangan komen.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ahmmad Hazrin Zulkifli berkata, sebaik pasukan bomba sukarela (PBS) Saujana Utama tiba di lokasi, mereka mendapati haiwan itu bukanlah ular, tetapi sebenarnya seekor cacing.

Ahmad Hazrin.

"Sebagai pasukan organisasi dan jabatan di Malaysia ini yang bertugas untuk menyelamat, kami tetap profesional dengan setiap aduan yang diterima.

"Kami memang dilatih dan diajar semasa latihan bomba lagi untuk tetap membantu masyarakat sebagai pelanggan terbesar kami," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Tambah Ahmmad Hazrin, pasukan bomba tidak pernah memandang sebarang aduan itu sebagai remeh kerana tanggungjawab mereka adalah menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar.

Selepas operasi tersebut, beliau memberitahu bahawa anggota bomba yang terlibat meyakinkan penghuni rumah bahawa cacing tersebut tidak bahaya dan menasihatkan mereka agar sentiasa memastikan keadaan persekitaran dalam keadaan bersih serta selamat.

bomba , cacing , ular

Artikel Lain