Kasihan! Hajat hati nak kongsi kisah kenalan baharu beza warna kulit, tapi kena kecam - Viral | mStar

Kasihan! Hajat hati nak kongsi kisah kenalan baharu beza warna kulit, tapi kena kecam

SETELAH empat bulan berkenalan dengan seorang jejaka di Twitter, akhirnya mereka bersemuka menerusi satu pertemuan di Ipoh, Perak, Ahad lalu.

Perkongsian swafoto mereka di laman sosial bagaimanapun menjadi bahan kutukan netizen gara-gara kapsyen yang ditulis gadis berkenaan.

"Dia kelihatan seperti India dan saya seperti Cina. Tetapi kami berdua orang Melayu," tulis gadis itu.

Bercakap kepada mStar Online, Faieznor Mohd Nasir, 26, berkata, dia memang sudah menjangka foto dan kapsyen itu akan menarik perhatian ramai.

Namun katanya, dia sama sekali tidak menyangka ramai netizen akan meninggalkan komen balas dalam bentuk hinaan terhadap mereka berdua.

Antara komen segelintir individu di Twitter.

"Sejujurnya, kami kawan sahaja, baru berkenalan tahun lepas dan itu merupakan pertemuan pertama kami.

"Apabila saya post gambar, memang jangka akan dapat perhatian tapi tak sangka pula ramai akan kecam. Bukan publisiti murahan tetapi sekadar perkongsian harian saya sahaja.

"Ramai juga yang cakap saya perasan muka macam Cina. Saya tak perasan pun tapi memang ada yang pernah tegur sebelum ini," ujar gadis yang mesra disapa sebagai Fiz itu sewaktu dihubungi pada Selasa.

Tambahnya lagi, dia juga pernah berdepan dengan situasi apabila individu berbangsa Cina turut keliru dengan wajahnya yang berkulit cerah.

Katanya, individu tersebut menyapanya dalam bahasa Mandarin kerana wajahnya yang tidak kelihatan seperti gadis Melayu.

Mengulas mengenai kecaman ramai, Fiz yang bekerja di sebuah syarikat pembekal perubatan berkata, dia memilih untuk kekal positif sahaja.

Perkongsian Fiz Ahad lalu.

"Mula-mula kena kecam tu rasa down juga. Tapi saya cuba ubah kutukan itu menjadi positif.

"Saya reply dengan kata-kata yang baik sahaja. Ia menyebabkan sesetengah orang yang kecam tu rasa bersalah sampai mereka minta maaf balik dengan saya.

"Tapi paling teruk ada yang kata wajah kami seperti orang Indonesia dan Bangladesh. Pada saya semua manusia sama sahaja.

"Tak baik kita pandang rendah pada orang negara lain. Tapi saya tak sedih pun apabila disamakan begitu," katanya lagi.

Selain Fiz, kenalannya yang berusia 25 tahun itu juga tidak mengambil pusing segala kecaman netizen yang dilemparkan ke atas mereka.

Dalam pada itu, perkongsian Fiz di Twitter menerima lebih 1,000 ulang kicau (retweet).

Susulan itu, ramai netizen tampil mempersoalkan kata-kata Fiz yang mengakui wajahnya seperti orang Cina sambil menyifatkan dia 'perasan dan syok sendiri'.

"Hidung penyek gitu konfem Melayu," tulis @nnabill_.

"Tak nampak macam Chinese pun," tulis @thelarats pula.

Faieznor Mohd Nasir , Twitter , Swafoto

Artikel Lain