suria

Pemilik video sampai demam, netizen tak percaya suara hantu muncul dalam 'live' IG

Paparan skrin video berkenaan yang dimuat naik ke laman Twitter milik Firdaus.

PETALING JAYA: Sedutan video nyanyian seorang pelajar menerusi siaran langsung Instagram menjadi tular gara-gara kehadiran suara misteri dalam kejadian awal pagi, Ahad lalu.

Video berkenaan dimuat naik semula ke laman Twitter oleh pelajar berkenaan dan ia ternyata mengundang pelbagai reaksi netizen.

Firdaus Razak, 23, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia tidak menyedari kehadiran suara misteri itu sehinggalah dia menonton semula rakaman berkenaan, pada malam kejadian.

“Malam itu kolej kediaman saya memang dah kosong, semua dah balik ke kampung sempena cuti pertengahan semester.

“Saya pula lewat balik sebab kehabisan tiket, jadi malam tu saya buat live IG sambil nyanyi dan main gitar.

“Selepas video tu tamat, saya tengok balik dan baru perasan ada suara misteri. Saya keluar dari bilik dan tengok memang tak ada orang, semua bilik dah gelap,” ujarnya pada Rabu.

Menurut penuntut jurusan psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, suara berkenaan muncul sejurus dia menamatkan nyanyian lagu Ragaman yang juga single terbaharu penyanyi Faizal Tahir.

Paparan skrin penjelasan Firdaus setelah segelintir netizen mempertikaikan kesahihan video berkenaan.

Tambah Firdaus lagi, dia tidak menyangka video tersebut akan tular sehingga menerima lebih 15,000 ulang kicau (retweet) di laman Twitter.

Ujarnya, dia juga demam tetapi bukan kerana gangguan tersebut, sebaliknya gara-gara kecaman segelintir netizen yang mempertikaikan kesahihan video berkenaan.

"Pada malam saya muat naik video tu, tak ramai pun yang retweet. Keesokan harinya saya tengok ramai yang respon.

"Saya sampai demam sebab orang kecam. Orang cakap saya tipu sebab sebelum ni ada video yang hampir sama. Saya tak tahu pun pasal video viral sebelum ini.

"Ada juga yang cakap saya buat gimik, mereka tidak berada di tempat saya dan tak alami benda tu," katanya lagi.

Dalam video tersebut, muncul suara persis seorang budak perempuan yang menyebut 'tidurlah, main apa lagi' sejurus dia menamatkan nyanyian.

Sementara itu, rata-rata netizen turut menghujani tweet berkenaan dan memberi pendapat mereka berhubung kejadian tersebut.

"Suara kau punyalah tak sedap sampai hantu pun suruh kau tidur," tulis @johan_ariff.

"Alam ghaib tu wujud, bukan kita je makhluk yang tinggal di bumi ni," tulis @sayaNadzmi.

"I’ve experienced something like this masa kat sekolah dulu, tapi dia tak suruh tidur, dia tanya... tak tidur lagi," tulis @memellyna94 pula.

 

Sumber video: Twitter @FirdausXrazak
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Firdaus Razak, Ragaman, hantu, misteri

Artikel Lain