Azwan (tengah) menjelaskan bekas COO Tabung Haji itu berdepan tiga pertuduhan atas kesalahan menerima suapan.
BEKAS Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dapat hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan selepas dilaporkan dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung sejak 31 Ogos lalu.Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, ketika prosiding di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud. Hadir sama di mahkamah, isteri kepada individu bergelar Datuk itu menjelaskan bahawa suaminya mula mengalami sakit dada hujung minggu lalu sebelum dimasukkan ke wad pada Isnin.Katanya, bekas COO berkenaan kini perlu menjalani beberapa pemeriksaan lanjut, termasuk ujian elektrokardiogram (ECG) dan angiogram.Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin kemudian menyerahkan kepada pertimbangan mahkamah sama ada pertuduhan terhadap individu itu perlu diteruskan atau sebaliknya.Selepas mendengar penjelasan daripada pihak peguam dan isteri individu terbabit, Awang Kerisnada berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan sebelum menetapkan 24 September, pukul 9 pagi untuk sebutan semula kes.Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Azwan berkata, anak guamnya sepatutnya berdepan tiga pertuduhan membabitkan kesalahan menerima suapan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.Kes berkenaan muncul susulan pelbagai persoalan membabitkan pengurusan kewangan TH yang sebelum ini berdepan isu ketidakpadanan antara nilai aset dan liabiliti.Situasi itu membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti beberapa isu yang timbul.Antara perkara yang menjadi perhatian dalam siasatan RCI ialah pelaburan pajakan hotel milik TH di Makkah dan Madinah.Pada 14 Ogos lalu, SPRM turut menahan tujuh individu bagi membantu siasatan, termasuk bekas menteri agama, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkapalan, pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas anggota pengurusan kanan TH.