suria

Tayar pecah sampai nampak rim! Lelaki pandu melulu beritahu polis tak berhenti sebab rumah dah dekat

Pemandu berkenaan dilihat memeriksa keadaan tayar keretanya.

SUSULAN rakaman tular tentang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover Velar dipandu dalam keadaan berbahaya dengan tayar belakang kanan pecah, polis akhirnya menahan pemandunya pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 32 tahun itu pada awalnya hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 8 pagi di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke arah Taman Naga Emas.

Menurut Mohd Zamzuri, setelah ditahan, polis turut melakukan ujian saringan air kencing dan nafas (EBA) terhadap individu berkenaan.

Menurut Zamzuri, lelaki itu mendakwa tayarnya pecah selepas terlanggar lubang dan dia memilih untuk meneruskan perjalanan kerana rumahnya tidak jauh dari lokasi kejadian.

Berdasarkan video tular, orang awam dilihat cuba menghalang lelaki berkenaan daripada meneruskan pemanduan kerana didakwa berada dalam keadaan mabuk.

"Saya tak mabuk… nak berhenti buat apa? Saya nak settle barang saja. Depan saja (lokasi ingin dituju)," katanya dalam rakaman tular tersebut.

Polis meminta saksi yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Artikel Lain