suria

Guru didakwa belasah anak yatim piatu nakal... Sepak muka sampai lebam, rentap rambut seret masuk pejabat

Gambar menunjukkan kesan lebam pada bahagian pipi mangsa. -Foto FB

SATU insiden mengundang kemarahan ramai apabila seorang guru lelaki didakwa bertindak ganas terhadap murid berusia 10 tahun.

Menurut pengasas Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal (TBQ Amal), Herman Sudir di Facebook, guru tersebut didakwa menendang muka murid tersebut yang merupakan penghuni rumah kebajikan itu.

Apabila mangsa jatuh dan menangis, dia didakwa menumbuk dan merentap pula rambutnya sebelum diheret ke pejabat.

"Boleh ke cikgu lelaki sekolah sepak muka budak 10 tahun? Selepas tu bila budak jatuh menangis dia tumbuk pula.

"Lepas tu rentap rambut dan seret budak punya rambut sampai ke ofis. Sebab dia tak ada mak bapa, cikgu berani buat begitu kepada anak TBQ Amal?

"Sebab dia duduk di rumah kebajikan maka boleh perlakukan budak ini lebih teruk dari binatang?" tulisnya di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru belasah pelajar gara-gara senyum dalam kelas, rupanya pernah ada kes pukul

Dakwanya lagi, kejadian ini berlaku disebabkan murid tersebut dikatakan berkelakuan nakal namun tindakan guru terbabit dianggap keterlaluan.

"Ini bukan nak mendidik tetapi mencederakan budak. Walau nakal macam mana sekali pun, ikutlah SOP.

"Nak rotan dipersilakan, tapi ikut SOP KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) bukan belasah budak ikut nafsu sampai blue black (lebam) muka budak," katanya lagi.

Menurut pelayar itu, pusat kebajikan tersebut akan membuat laporan polis dan menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya diambil.

mStar cuba mendapatkan kenyataan daripada pihak pusat jagaan tersebut namun masih belum menerima sebarang maklum balas sehingga kini.

Sementara itu, memetik laporan BHarian, pengurus operasi pusat jagaan itu mengesahkan telah membuat laporan di Balai Polis Larkin, Johor Bahru, pada Khamis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain