suria

Abang sebak terkenang Sabari... Panggilan, mesej tak berjawab rupanya satu petanda

Ismail (dua, kanan) mengikuti perkembangan operasi pencarian Sabari di Kampung Lubuk Batu. Foto Sinar Harian

DISANGKA sibuk, rupanya hilang.

Abang kepada mangsa pembunuhan, Sabari Baharom, 62, tidak menyangka panggilan telefon dan mesej WhatsApp dibuat terhadap adiknya yang tidak berbalas memberi makna sebaliknya.

"WhatsApp pun dia tak balas. Saya ingat dia sibuk, selepas itu dapat berita dia hilang.

"Bila kereta dia ditemui rentung, kes disiasat sebagai perbuatan jenayah," kata Ismail, 69, ketika ditemui pemberita di lokasi pencarian Sabari di Kampung Lubuk Batu, dekat Kubang Pasu di Jitra.

Menurut Ismail, dia sebelum ini menghubungi adiknya kerana mahu mengucapkan tahniah atas kelahiran cucu keduanya.

Ismail bagaimanapun sebak sbeaik menerima berita mengenai kehilangan adiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Sabari harap jasad bapa segera ditemukan, mahu ada pusara

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan Sabari akhirnya terjawab! Mangsa dipercayai dibunuh, dicampak dalam sungai

Malah, sukar untuk dirinya berkata-kata apabila mengenangkan perbuatan suspek yang sangat kejam terhadap adiknya.

Pada Isnin, misteri kehilangan Sabari yang merupakan pesara pegawai kewangan Felcra sejak 4 September lalu akhirnya terjawab susulan penahanan dua suspek.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, mangsa dipercayai dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap dengan keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Menurutnya, ia susulan penahanan dua suspek berusia 26 dan 38 tahun, pada Jumaat lalu.

Siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.

Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangannya menjadi misteri apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemukan dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik.

Bagaimanapun, mangsa tidak dijumpai di lokasi kejadian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube