suria

Anak angkat usia 5 tahun didera sampai mati... Ada kesan koyak di kemaluan, badan penuh lebam-lebam!

Penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras setiap agama. -Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri ditahan polis kerana disyaki mendera anak angkat perempuan mereka berusia lima tahun hingga maut pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terhadap wanita berusia 27 tahun dan suaminya berusia 66 tahun itu dilakukan selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak.

"Pihak hospital menerima seorang kanak-kanak perempuan di Wad Kecemasan Zon Merah untuk resusitasi namun disahkan meninggal dunia.

"Pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan, disyaki dipukul dengan objek tumpul sebelum melaporkan kepada polis.

"Selain itu terdapat kesan luka koyak dan lebam pada vagina dan dubur mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bertindak atas maklumat, polis pergi ke lokasi kejadian di sebuah rumah di Taman Malkop, Silibin dan menahan pasangan terbabit bagi membantu siasatan.

Tambah Abang Zainal Abidin, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.

"Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu akan dibuat pagi Selasa di Mahkamah Majistret Ipoh," katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain