suria

Penjual sayur ditetak perompak ketika lindungi tunang

Jenayah samun berkumpulan disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan

SEORANG penjual sayur cedera parah selepas ditetak dengan pedang dalam satu kejadian rompakan di daerah Papar, Sabah.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, ketika kejadian, mangsa, lelaki tempatan yang berusia 27 tahun itu dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan sayur bersama tunangnya di Kota Kinabalu, sebelum singgah makan di sebuah restoran pada pukul 1.30 pagi Rabu (1 Mei).

Ujarnya, mangsa memarkir kenderaannya di tepi jalan dan pasangan tersebut berjalan ke kedai makan yang terletak berhampiran sebuah bangunan pangsapuri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi berdarah! Peniaga ditetak dalam kejadian samun, 2 kucing bernilai RM10,000 dilarikan

"Tiba-tiba sebuah kereta berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki yang memegang senjata tajam dipercayai pedang, keluar dari kenderaan dan menyerang tunang mangsa," katanya.

Penyerang yang memakai topi keledar meragut beg kepunyaan tunang mangsa, ujarnya, sambil menambah pergelutan kemudian berlaku antara suspek dan mangsa.

Akibatnya pergelutan tersebut, mangsa cedera parah akibat ditetak di kedua-dua belah tangan, selain turut kehilangan beg mengandungi dokumen penting dan telefon bimbit.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Papar oleh tunangnya dan dilaporkan dalam keadaan stabil," kata beliau sambil menambah, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta yang dipandu rakannya.

Supt Kamaruddin berkata, usaha mengesan suspek kini sedang giat dilakukan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Papar di talian 088-912222 atau balai lain berdekatan, selain boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Wong Yew Zhung di talian 010-563 5169.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan parah. -THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain