suria

Naik 10 peratus! Kadar tambang baharu bas ekspres ekonomi sempena Aidilfitri

Orang ramai beratur membeli tiket bas. -Gambar hiasan The Star

SEMPENA perayaan Aidilfitri ini, kadar tambang bas ekpres kategori perkhidmatan ekonomi meningkat sebanyak 10 peratus.

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), kenaikan itu bagi tempoh antara 4 hingga 17 April ini.

APAD dalam kenyataan berkata, Jemaah Menteri meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer iaitu kenaikan 10 peratus dan pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori itu kepada RM0.102 sekilometer, berbanding kadar tambang biasa RM0.093 sekilometer.

Selain itu, menurut APAD, permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) juga dibuka bagi perkhidmatan bas ekspres sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 10 dan 11 April ini.

"Ini bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi dan dapat menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung sempena musim perayaan," menurut kenyataan itu.

Permohonan LPS itu terbuka kepada semua pengendali bas yang layak bermula 11 Mac hingga 2 April ini, manakala tempoh sah laku lesen bagi semua permohonan yang diluluskan adalah dari 4 hingga 17 April.

Menurut kenyataan itu lagi, pengendali yang memohon LPS perlu mematuhi ketetapan syarat-syarat pengendali bas ekspres ditetapkan APAD dengan mematuhi polisi dan spesifikasi kelas lesen bas ekspres.

Selain itu, bas ekspres perlu dilengkapi sistem penentu posisi global (GPS) dan had usia penggunaan tidak melebihi 10 tahun serta permohonan terhad kepada jenis perkhidmatan ekonomi sahaja.

"Permohonan juga bagi bas ekspres dan bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan telah mendapat kelulusan Laporan Puspakom VR1 Khas (Kod 9009) dibenarkan untuk memohon," katanya.

Permohonan boleh dilakukan di semua pejabat wilayah dan kaunter APAD di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, APAD turut menyeru semua pengendali agar sentiasa memberikan perkhidmatan berkualiti, menepati jadual tambang dan jadual perjalanan, menjamin keselamatan pengguna dan memastikan pemandu bas mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan.

"Ditegaskan bahawa sebarang perlanggaran syarat lesen yang telah ditetapkan boleh menyebabkan pengendali dikenakan tindakan berdasarkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"APAD memohon kerjasama semua pihak dalam usaha memperkasa perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat," menurut kenyataan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain