suria

Warga emas cedera, patah tangan diragut depan restoran di Taman Muda

Polis melakukan siasatan menyeluruh bagi kes jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG wanita warga emas cedera di leher dan patah tangan kanan selepas rantai lehernya ditarik peragut di hadapan sebuah restoran di Taman Muda, Ampang di Selangor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian sekitar pukul 5 petang itu membabitkan seorang wanita berusia 72 tahun ketika dalam perjalanan membeli barang di sebuah kedai berhampiran lokasi kejadian.

“Ketika mangsa berjalan kaki, seorang lelaki tempatan datang dengan menaiki motosikal dan nombor pendaftaran tidak pasti meragut seutas rantai emas leher milik mangsa dari arah belakang lalu melarikan diri.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa cedera di leher belakang dan patah tangan kanan kerana terjatuh,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Azam, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu rompakan sehingga menyebabkan kecederaan.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain