suria

JPJ Pahang sita Ferrari guna nombor pendaftaran palsu

Anggota JPJ sentiasa memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan. -Gambar hiasan The Star

KENDERAAN mewah sememangnya menjadi perhatian masyarakat kerana unik dan menarik.

Bernilai ratusan ribu ringgit membuatkan ramai yang tidak menyangka, pemiliknya akan terlibat dengan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menerusi Operasi Khas Motosikal di Kuantan, Pahang baru-baru ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mendedahkan sebuah kereta Ferrari mempamerkan nombor pendaftaran milik kenderaan lain.

Susulan daripada itu, kenderaan tersebut disita serta merta mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, sebanyak 169 kenderaan diambil tindakan dengan 420 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Pihaknya turut menyita 22 kereta termasuk motosikal yang melakukan kesalahan antaranya lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada lesen GDL dan lain-lain.

"Saya mengingatkan pengguna kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya demi memastikan keselamatan pengguna lain sepanjang musim perayaan ini," katanya.

Katanya, operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Pahang, Rohaizad Jamil bersama 45 pegawai dan anggota.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain