suria

Tragedi kepala air... Mayat kanak-kanak ditemukan, 2 masih hilang

Seorang lagi mangsa tragedi ditemui lemas. -Gambar Bernama

SEORANG lagi mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor di Perak, ditemukan lemas, pada Rabu malam.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Hafif Muhayat Azam, 4, ditemukan dalam keadaan tersangkut di bawah akar pokok, kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.

Mangsa ditemukan pada pukul 9.50 malam, dengan bantuan penduduk kampung yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Penemuan ini menjadikan dua mangsa lagi masih hilang," katanya kepada pemberita.

Identiti mangsa disahkan ibu saudara, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51.

Terdahulu, dilaporkan aktiviti sekeluarga untuk berkelah bertukar tragedi apabila empat daripada tujuh mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras kepala air sementara tiga lagi terselamat.

Si ibu, Aszura Bani, 37, ditemukan lemas, kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung kira-kira pukul 4.30 petang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain