suria

“Rasa macam biadab sangat” - Cikgu Fadli dedah pencen awal sebab ‘sistem’, bimbang lebih ramai guru tawar hati

Cikgu Fadli memberi penjelasan berhubung keputusannya untuk bersara awal.

GURU viral, Mohd Fadli Salleh mendedahkan hasratnya untuk bersara awal daripada kerjaya perguruan sebenarnya sudah tercetus sejak hampir dua tahun lalu.

"Kenapa saya bersara awal? Sebenarnya keputusan untuk bersara awal ni hampir dua tahun lepas terutama selepas kes saya hampir dibuang tu dan berjaya 'diampunkan'.

"Apa yang saya nampak penjawat awam ni ada banyak akta. Saya banyak terikat, walaupun kita berkata, mengemukakan fakta, ia masih tidak boleh... itu akta.

"Bila kita bersuara, perkara itu melanggar akta. Rasa macam biadab sangat, ada akta tapi saya langgar seolah-olah besar kepala, saya tak nak macam tu. Saya rasa lebih baik undur dulu secara terhormat dengan bersara sebagai pilihan," kata guru Matematik itu menerusi siaran langsung di Facebooknya, pada Rabu malam.

Majlis sempena persaraan Cikgu Fadli di sekolah.

Sehubungan itu, Mohd Fadli yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli menggesa supaya akta dan pekeliling kerajaan yang menyekat penjawat awam, termasuk guru daripada menyuarakan pandangan, dimansuh atau dipinda.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu Fadli bersara awal, buat keputusan kerana sayang dan hormat KPM - “Tak molek buat onar sesuka hati”

Bagaimanapun pempengaruh media sosial itu dalam satu luahan di Facebook mengakui jauh di sudut hatinya, dia tetap mencintai dunia pendidikan.

"Jujur dari hati paling dalam, saya sayang sungguh dunia pendidikan. Bagi saya, menjadi guru itu bukan karier. Tapi cinta.

"Kecintaan yang sangat dalam sebenarnya. Dan ramai sangat guru lain yang hebat, berdedikasi serta penuh kecintaan seperti saya.

"Namun satu demi satu mula tawar hati kerana mereka disekat untuk bersuara. Terlalu banyak akta yang mengikat mereka. Dah mula terbit dari mulut mereka ingin keluar dari sistem ini," katanya lagi.

Cikgu Fadli tetap menyokong segala kebaikan dalam sistem pendidikan negara.

Mengulas lanjut, Cikgu Fadli berpendapat bahawa sudah tiba masanya beberapa akta perlu diubah daripada terus menyekat akar umbi menyuarakan pandangan jujur mereka.

"Hidupkan kembali jiwa-jiwa guru sejati yang hampir mati. InsyaAllah, pendidikan negara akan kembali gemilang dan bersinar terang.

"Sangat sayang bila satu demi satu guru berkualiti undur diri. Sayang juga bila semakin ramai guru bekerja hanya kerana gaji.

"Yang Berhormat (YB) Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, YB menggalas tanggungjawab besar untuk mengembalikan kepercayaan dan kegemilangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Fadli berkata, dia tetap menyokong usaha baik dalam memperkasakan pendidikan negara.

"Walau sudah berada di luar sistem, saya sentiasa menyokong apa jua kebaikan untuk sistem pendidikan negara kita," katanya.

Pada Selasa malam, Cikgu Fadli membuat kejutan apabila mengumumkan dirinya untuk bersara awal.

Difahamkan tempoh perkhidmatan Cikgu Fadli akan berakhir sacara rasmi pada 1 Mac depan.

Untuk rekod, Cikgu Fadli pernah tular kerana mengkritik sistem pendidikan negara sebelum ini.

Cikgu Fadli pada 2022 dihadapkan ke Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan susulan pendedahannya mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Dia bagaimanapun didapati tidak bersalah dan tidak dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain