suria

17 das tembakan meriam dilepaskan! Segak berbusana putih, Putera Mateen bergelar suami dengan sekali lafaz

Putera Mateen melafazkan akad di hadapan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Seri Paduka Setia Awang Salim.

PANGIRAN Muda 'Abdul Mateen Bolkiah dan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei, Khamis.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan menyaksikan majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat diraja.

Terdahulu, Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei (RTB), dengan Putera Mateen, mengenakan busana serba putih.

Dayang Anisha anggun dengan busana merah mengikut tradisi.

Dayang Anisha anggun dengan busana merah mengikut tradisi.

Awang Adam Abdullah iaitu bapa pengantin diraja perempuan, meminta Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Seri Paduka Setia Awang Salim menikahkan Dayang Anisha bersama pasangannya dengan mahar sebanyak $1,000 dolar Brunei (RM3,498).

Istiadat bersejarah itu dimulakan dengan awang-awang menyalakan Dian Empat sebagai lambang keunikan adat Istiadat Diraja Brunei.

Sebaik sahaja lafaz kabul disahkan, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Mateen, Dayang Anisha selamat bertunang

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan majlis kahwin Putera Mateen, Dayang Anisha... Tempahan hotel di Bandar Seri Begawan penuh

Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari, dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari.

Acara kemuncak iaitu Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja akan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari.

Mempelai pengantin diraja kemudian akan menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan, manakala Majlis Persantapan Diraja dijadualkan pada 15 Januari.

Putera Mateen, 33, merupakan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.

Dayang Anisha, 29, pula merupakan cucu kepada Pehin Datuk Isa, yang merupakan penasihat khas kepada Sultan Brunei.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain