suria

Patut tak cukup! Warga asing seludup minyak masak paket ditahan polis Johor

Warga asing seludup minyak masak paket ditahan polis Johor.

SEORANG lelaki warga asing ditahan sepasukan polis Johor selepas memiliki 85 paket minyak masak bersubsidi tanpa permit.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tahanan dibuat pada pukul 12.30 tengah hari Isnin, selepas pasukan risikan mengekori kereta suspek berusia 35 tahun itu.

“Suspek tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen atau permit (untuk) barangan yang sah. Terdapat lima karton kotak berisi minyak masak paket di dalam but kereta.

“Setiap karton mengandungi 17 paket minyak masak bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Mereka yang terlibat dalam penyeludupan minyak masak bersubsidi harus dihentikan serta-merta kerana kita sentiasa memantau aktiviti sebegini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

Isu minyak masak bersubsidi yang dijual kepada warga asing diperkatakan secara meluas selepas rakaman video selama 3 minit menjadi tular menunjukkan beberapa kotak dipercayai mengandungi paket minyak masak 1kg dijual warga asing di bandar Johor Bahru.

Susulan insiden tular itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata pihak berkuasa telah mengenal pasti premis yang dipercayai terlibat dalam penjualan minyak masak bersubsidi itu. Beliau berkata lokasi itu berada di sekitar Pasar Borong Pandan dan kementerian telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain