suria

Belanjawan 2023 perkasa institusi Islam, bantu keperluan agama lain

Kerajaan komited menyokong aktiviti keagamaan menerusi peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2023. –Gambar fail The Star

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion menerusi Belanjawan 2023 bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, dengan tujuan memperkasa institusi Islam di negara ini.

Inisiatif untuk hal-hal berkaitan Islam seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2023 termasuk:

> Baik pulih: RM150 juta untuk kerja baik pulih di sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

> Elaun KAFA yang lebih tinggi: Lebih RM40 juta untuk menaikkan elaun bagi 35,000 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,000 kepada RM1,100.

Selain itu, sumbangan khas secara sekali bayar sebanyak RM600 diberi kepada 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir membabitkan peruntukan lebih RM40 juta.

Simpanan syariah KWSP

Berkenaan dengan simpanan syariah KWSP yang diperkenalkan pada 2017, aset simpanan syariah kini dilaburkan bersama aset patuh syariah dalam simpanan konvensional.

Mulai 2024, aset simpanan syariah KWSP akan diasingkan sepenuhnya bagi memberikan pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang memiliki akaun syariah.

Pembangunan wakaf

Bagi pembangunan tanah wakaf, kerajaan menerima komitmen daripada sektor swasta untuk menubuhkan Wakaf Madani dengan aset bernilai lebih RM1 bilion untuk tanah, masjid dan kemudahan kesihatan serta pendidikan.

Aset ini akan dioptimumkan untuk memberi manfaat kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan golongan yang memerlukan.

Selaras dengan kerangka Madani, Perdana Menteri berkata kaedah wakaf merupakan salah satu mekanisme pengagihan semula yang menyumbang kepada kemakmuran sejagat.

“Kejayaan pembangunan Menara Bank Islam di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur menerusi wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy yang bernilai tinggi, menunjukkan potensi sebenar sektor wakaf dalam pembangunan.

“Begitu juga dengan Wakaf Seetee Aisyah dan Wakaf Simpang Enam di Pulau Pinang yang boleh dijadikan tempat rujukan dalam membangunkan pusat sosioekonomi tempatan.

“Malah, Wakaf Felda membuktikan berlakunya anjakan paradigma dalam kalangan peneroka yang mana mereka bukan lagi sekadar penerima bantuan tetapi sudah mula berkongsi rezeki, dengan wakaf terkumpul melebihi RM27 juta, walaupun dana wakaf ini baru sahaja dilancarkan pada 2021,” kata Anwar.

Tambahnya, setakat ini hanya sekitar 3,500 hektar atau 12 peratus tanah wakaf berdaftar berjaya dibangunkan dan usaha membangunkan tanah dan aset wakaf perlu diterokai secara berterusan.

Sokongan untuk semua agama

Kerajaan komited untuk menyokong aktiviti keagamaan, selaras dengan Rukun Negara yang mana Islam adalah agama rasmi manakala agama lain boleh diamalkan secara bebas.

Bagi agama-agama lain, peruntukan sebanyak RM50 juta disediakan untuk kerja penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadah bukan Islam di seluruh negara.

Langkah-langkah ini berjaya memberi kelegaan kepada kumpulan sasar dan terdapat pelbagai inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023 untuk menyokong aktiviti keagamaan bagi memastikan ia terus mekar.

Mereka yang layak untuk inisiatif ini boleh membuat permohonan segera untuk menerima manfaatnya.

Proses permohonan adalah mudah dan mesra pengguna, malah bantuan akan disalurkan dengan pantas kepada mereka yang layak.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain