suria

Program Asasi TVET di 5 politeknik untuk lepasan SPM, peluang peroleh gaji premium selepas tamat pengajian

Kaedah pendidikan yang lebih fleksibel dan dinamik akan diperkenalkan untuk semua lapisan masyarakat.

TIADA lagi yang akan tercicir dalam pendidikan.

Ia susulan langkah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang memperkenalkan kaedah pendidikan lebih fleksibel dan dinamik untuk semua lapisan masyarakat.

Langkah ini bertujuan untuk menarik lebih ramai belia mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pengarah JPPKK, Dr Mohd Zahari Ismail berkata melalui konsep ‘pendidikan untuk semua’, perluasan akses terhadap bidang TVET akan dilaksanakan merangkumi kepelbagaian kumpulan sasar.

Dr Mohd Zahari berucap ketika sambutan Hari TVET Negara di Putrajaya pada Jumaat.

"Ia akan mencakupi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukan lulusan SPM, mereka yang sedang bekerja, golongan B40, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) mahupun warga pusat pemulihan.

"Pada masa ini, dikatakan ramai belia dan lepasan SPM kurang berminat menyambung pengajian disebabkan ledakan ekonomi gig ekoran perubahan ekonomi semasa global khususnya pasca Covid-19.

"Kita memahami situasi ini dan berpandangan bahawa para belia perlu ada perancangan masa hadapan yang lebih progresif demi kelestarian hidup dan kerjaya yang menjamin pendapatan mereka," ujarnya.

Dr Mohd Zahari (kedua dari kiri) bercakap kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari TVET POLYCC 2023.

Mohd Zahari berkata sedemikian selepas menyempurnakan Sambutan Hari TVET POLYCC 2023 di Putrajaya pada Jumaat.

Selain itu JPPKK juga merancang penawaran program pengajian yang lebih praktikal dan sedang mengkaji semula tempoh pengajian agar lebih pendek dan fleksibel.

Langkah proaktif ini berikutan laporan yang dikeluarkan Ahad lalu mengenai hanya 40 peratus daripada 500,000 lepasan SPM melanjutkan pengajian ke tingkatan enam, institusi pengajian tinggi (IPT) atau TVET setiap tahun.

Statistik yang dikongsikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Sri Ahmad Maslan itu turut menunjukkan baki lepasan SPM yang tidak melanjutkan pengajian berkemungkinan besar menyertai sektor pekerjaan.

Program Asasi TVET direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal.

Sektor pekerjaan itu tertumpu kepada perkilangan dan perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan mahupun e-hailing dan p-hailing di negara ini.

"Saya menyeru lepasan SPM untuk turut memilih Program Asasi TVET yang baharu diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi di lima buah politeknik perintis bagi pengambilan pertama Sesi I 2023/2024.

"“Pembangunan kurikulum Program Asasi TVET direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal.

"Manakala fokus bidang Asasi TVET yang ditawarkan adalah mengikut keperluan industri semasa," katanya.

Lepasan SPM yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program yang ditawarkan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) boleh merujuk laman sesawang UPU atau Bahagian Ambilan JPPKK.

Atau boleh juga kunjungi booth POLYCC di Karnival Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaysia Terengganu pada 4 dan 5 Jun 2023 serta di Universiti Malaya pada 4 dan 5 Jun 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain