suria

Anak Hamzah didakwa simpan minyak masak subsidi kerajaan lebih had, kemuka dokumen palsu

Muhammad Faisal Hamzah, merupakan anak kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin.

DUA bekas pengarah sebuah syarikat termasuk anak pemimpin politik dibicarakan di Mahkamah Sesyen Seremban atas sembilan pertuduhan berkaitan penjualan dan penyimpanan minyak masak subsidi kerajaan.

Muhammad Faisal Hamzah, 39, yang merupakan anak kepada ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Azizul Abdul Halim, 55, yang ketika itu pengarah Rimba Merpati Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Kedua-duanya, sebagai pengarah Rimba Merpati, pemborong berlesen untuk minyak masak bersubsidi, pertama kali didakwa secara individu kerana melanggar Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana mempunyai lebih daripada 50 tan metrik komoditi dalam premis perniagaan mereka.

Sebagai pengarah, mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Seksyen 22(4) perundangan yang sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta dan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis mereka di Kawasan Perindustrian Sinar Andalas di Senawang sekitar pukul 11.15 malam pada 11 Ogos tahun lalu.

Rimba Merpati, sebagai sebuah syarikat, turut didakwa atas kesalahan yang sama dan kedua-duanya yang mewakilinya, sekali lagi mengaku tidak bersalah.

Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga RM2 juta jika sabit kesalahan.

Kedua-dua Muhammad Faisal dan Azizul turut didakwa memberikan maklumat palsu, dokumen dan invois berhubung jumlah minyak masak bersubsidi yang mereka miliki dan penjualan komoditi itu kepada Warisan Hasil Alam dan Pasar Segar Din Maju.

ARTIKEL BERKAITAN: Umpama ‘Crazy Rich Asian’, 4 pengawal peribadi ke bilik hotel persembahkan 30 kasut buat kerabat diraja

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) perundangan sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebagai entiti berlesen, Rimba Merpati turut didakwa atas kesalahan yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar pukul 5 petang pada 12 Ogos 2022, di pejabat Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi negeri di Seremban 2.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria kemudian menggesa mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

“Ini adalah kes kepentingan awam kerana ia melibatkan barang terkawal.

“Mahkamah juga harus mempertimbangkan untuk mengenakan jaminan yang lebih tinggi berikutan jumlah pertuduhan,” katanya.

Sophian berkata jaminan yang lebih tinggi juga wajar memandangkan jumlah minyak masak bersubsidi yang terlibat dalam kes itu adalah besar.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Qurratu'aini Zafirah Mat Shoib meminta jumlah yang lebih rendah dan berkata jumlah pertuduhan tidak boleh digunakan sebagai kayu ukur untuk menentukan jumlah jaminan.

Tambahnya, kedua-dua tertuduh bukan lagi pengarah syarikat yang kini mempunyai pengurusan baharu.

Ujarnya lagi, Azizul yang berasal dari Kuantan mempunyai 10 anak manakala Muhammad Faisal, yang tinggal di Kuala Lumpur, mempunyai tiga anak dan isterinya juga akan bersalin tidak lama lagi.

Hakim kemudian membenarkan jumlah jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan seterusnya. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain