suria

Rumah teres dua tingkat musnah! Pemaju diarah henti pembinaan, mesti kemuka cadangan jangka panjang atasi masalah

Rumah di Taman Pertama, Cheras musnah disebabkan pembinaan projek berhampiran.

PEMAJU perumahan diarahkan untuk menghentikan pembinaan projek bertingkat selepas beberapa unit rumah teres dua tingkat di Taman Pertama, Cheras di Kuala Lumpur musnah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kejadian tersebut berlaku selepas tembok penahan di tapak projek itu beralih kedudukan pada Ahad lalu.

Ujar beliau, pemaju telah diarah untuk segera membentengi tembok penahan.

"Institut Kerja Raya Malaysia telah dilantik sebagai perunding untuk menyelia kerja tersebut. Pemaju juga dikehendaki menyemak reka bentuk tembok penahan sebelum meneruskan projek pembinaan.

"Mereka juga mesti mengemukakan cadangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Mahadi berkata garis masa untuk menyiapkan kerja-kerja terlibat masih belum diputuskan kerana butiran berkaitan masih dikumpul.

"Ini termasuk data mengenai reka bentuk projek serta urutan pembinaan di tapak," katanya.

Beliau juga berkata bekalan elektrik dan air ke rumah terjejas telah dihentikan atas faktor keselamatan.

Penduduk di enam rumah itu telah dipindahkan ke hotel berhampiran dengan kos ditanggung pemaju.

Terdahulu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat mengarahkan penghuni di enam rumah berhampiran berpindah serta merta. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain