suria

2 tahun terkesan pandemik Covid-19, kelab malam kembali beroperasi 15 Mei ini

Senarai negatif di bawah SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan digugurkan mulai 15 Mei.

KERAJAAN akan membenarkan kelab malam beroperasi semula pada 15 Mei ini.

Ia ternyata memberi kelegaan buat pekerja dalam industri itu yang sudah terkesan dek pandemik selama dua tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak wajib pakai pelitup di kawasan terbuka berkuat kuasa 1 Mei

Pengurus Besar TREC Holdings Sdn Bhd Kelvin Lam berkata pengumuman Kementerian Kesihatan pada Khamis akan memberi manfaat kepada lebih 1,500 pekerja yang terjejas akibat wabak itu.

Dia berkata pengusaha pusat hiburan telah mula mengambil semula kakitangan, menempah ruang acara dan bertanyakan tentang operasi.

"Pengambilan semula itu juga akan melibatkan penyedia perkhidmatan pembersihan, pengawal keselamatan dan penghibur, antara lain," katanya.

Lam berkata industri bersedia untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Kami tidak mempunyai sebarang isu dengan mana-mana SOP, kami akan mematuhinya dengan ketat.

"Pengusaha akan memastikan kebersihan sentiasa terjaga," katanya.

Kelab malam adalah satu-satunya perniagaan di bawah senarai negatif pada 1 April, dan tidak dibenarkan beroperasi sejak permulaan wabak pada Mac 2020.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Khamis mengumumkan senarai negatif di bawah SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan digugurkan mulai 15 Mei.

Khairy berkata kementerian akan bertemu pemain industri untuk memahami masalah mereka dan mencari jalan untuk menanganinya.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro Jeremy Lim berkata persatuannya yang juga menyelia kelab malam mengadakan sesi pertemuan dengan kementerian pada akhir bulan lalu.

Datuk David Gurupatham, pengasas bersama Industries Unite, berkata keputusan untuk memansuhkan senarai negatif itu akan membolehkan wujudnya peluang pekerjaan sambil mengimbangi keselamatan rakyat.

DJ kelab malam Kuala Lumpur Kenneth Wong turut meluahkan rasa gembira dengan pembukaan semula tetapi merasakan pematuhan SOP masih perlu dititikberatkan.

"Tidak dinafikan kehidupan malam akan kembali, tetapi kami masih perlu memastikan SOP dipatuhi," kata Wong yang lebih dikenali sebagai K3nji. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain