suria

Padah jual ketum online, penganggur ditahan di Bandar Dungun

Sebahagian daripada rampasan.

TINDAKAN penganggur menjual ketum secara atas talian (online) sejak sebulan lalu mengundang padah apabila dia ditahan polis pada Jumaat.

Difahamkan, lelaki tersebut juga baharu berjinak-jinak dalam kegiatan memproses dan mengedar air rebusan daun pokok tersebut di sekitar Dungun, Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN: Seludup beras Siam demi upah RM10! Seorang lelaki ditahan, rampasan bernilai RM11,000

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan Arena Square, Bandar Dungun oleh pasukan Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun (IPD) Dungun kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, susulan penahanan lelaki itu, pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah rumah dipercayai disewa khas bagi memproses ketum di Kampung Sura Tengah, Dungun.

"Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut membawa kepada rampasan 14.2 kilogram (kg) daun dipercayai ketum, 289 liter cecair ketum (dibungkus dalam 289 plastik), 30 mililiter kodin, wang tunai berjumlah RM2,240 serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses ketum.

Sebahagian daripada 289 liter cecair dipercayai ketum yang diproses suspek.

"Siasatan awal ke atas suspek mendapati jualan ketum turut dilakukan secara dalam talian selain mengedar di tepi jalan kepada pelanggan yang dikenali," katanya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, keseluruhan barangan rampasan (terutama ketum) yang dianggarkan bernilai lebih RM3,200 itu dipercayai mampu dibekalkan kepada 350 penagih di sekitar Dungun.

"Kita percaya suspek mungkin baharu sahaja mendapatkan bekalan beberapa hari lalu berdasarkan barangan yang dirampas.

"Selain itu, kita percaya suspek ini mendapat bekalan daun ketum dari negeri di utara tanah air," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain