suria

Kes liwat: Anwar gagal rayuan kembalikan saman pemula

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: Thomas Yong/The Star

MAHKAMAH Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon untuk mengembalikan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia berkaitan sabitan kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Lee Swee Seng sebulat suara dalam keputusannya untuk menolak saman itu semasa prosiding dalam talian, pada Rabu.

Dua hakim yang turut bersidang adalah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes liwat: Tidak perlu lagi saya jelaskan, kata Anwar

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Abu Bakar, panel berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membatalkan saman pemula Anwar untuk mengembalikan semula tuntutan itu.

Menurut saman pemula yang difailkan Anwar, beliau mendakwa dalam rayuan kes liwatnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik menjadi ketua pendakwaan di peringkat Mahkamah Rayuan telah menerima bayaran RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Perayu hanya mengatakan bahawa ia adalah dalam domain awam bahawa Shafee telah menerima wang daripada Najib. Dakwaan perayu itu adalah satu penegasan semata-mata tidak disokong oleh bukti.

"Oleh itu, dakwaan bahawa Shafee tidak bebas sebagai ketua pendakwa raya adalah tidak mempunyai sebarang merit," kata hakim itu.

Panel itu juga berkata, walaupun dibuktikan bahawa wang itu dibayar kepada Shafee oleh Najib, ia tidak akan menjejaskan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah seterusnya berkata Anwar mempunyai hak dalam prosiding bermula di Mahkamah Tinggi dan beliau tidak dinafikan peluang untuk membela diri sehingga ke mahkamah tertinggi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November 2017, yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemulanya berhubung sabitan liwat tersebut.

Selepas tuntutan tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, Anwar memfailkan rayuan.

Pada September 2018, seorang pegawai khas kepada bekas peguam negara Tommy Thomas, Siti Rahayu Mohd Mumazaini, memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Anwar untuk mengembalikan saman itu.

Siti Rahayu menyatakan dalam afidavitnya bahawa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib antara 2013 dan 2014 kerana mengendalikan rayuan kes liwat tersebut..

Shafee kini dibicarakan atas empat pertuduhan pertuduhan pengubahan wang haram ke atas jutaan yang diterimanya.

Pada 9 Jun 2017, Anwar memfailkan saman pelula dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan, mendakwa dia tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan berkaitan sabitan liwatnya.

Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd Saiful dan dia diberi pengampunan diraja pada 16 Mei 2018. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain