suria

KKM terbuka jika ada ujian klinikal berkaitan kanabis perubatan - KJ

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (Foto: BERNAMA)
1 / 1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) terbuka kepada penyelidikan klinikal mengenai penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan, kata Khairy Jamaluddin.

"KKM mengalu-alukan ujian klinikal untuk memastikan kualiti dan keberkesanan produk kanabis perubatan di Malaysia," kata Menteri Kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganja ubat alternatif: Syed Saddiq puji KJ - “Nampaklah team buat kaji selidik, bukan terpaksa jawab“

Menurut Khairy, dia juga telah menerima beberapa cadangan untuk ujian klinikal.

Semasa ucapan penggulungan Bajet 2022 di Parlimen pada Rabu, Khairy berkata undang-undang sedia ada mengenai kanabis tidak melarang penggunaannya untuk tujuan perubatan.

"Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai bukti saintifik mencukupi yang ingin menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan, dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan, mereka boleh memohon kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) tempatan untuk penilaian.

"Ia kemudiannya akan didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dijual di Malaysia," ujarnya.

Khairy berkata buat masa ini, tiada produk kanabis perubatan keluaran tempatan di Malaysia, tetapi menyatakan bahawa produk bernama "Sativax" telah didaftarkan pada 2014 di bawah DCA.

"Bagaimanapun, syarikat yang mengeluarkan produk itu meminta lesennya dibatalkan pada 2017," ujarnya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar memuji Khairy kerana progresif, tetapi berkata undang-undang tertentu perlu dipinda supaya ibu bapa tidak dihukum kerana menggunakan kanabis perubatan ke atas anak-anak mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini berkata di Parlimen bahawa kerajaan sedang meneliti pengesahan kanabis perubatan. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain