suria

Kantoi parti liar, 26 ditahan di kondo mewah... paling muda 13 tahun!

Serbuan yang dijalankan polis di sebuah kondominium mewah. foto PDRM

POLIS berjaya menumpaskan parti liar dan menahan 26 suspek di sebuah kondominium mewah di George Town, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, 26 individu terdiri daripada 15 lelaki dan 11 perempuan yang berusia 13 hingga 21 tahun, ditahan selepas polis menyerbu unit kondominium itu, kira-kira pukul 1.30 pagi Sabtu.

Beliau berkata, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bertindak menyerbu kondominium itu selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

“Siasatan awal mendapati suspek menyewa unit kondominium itu dengan bayaran RM500 sehari melalui media sosial untuk mengadakan parti.

"Kita juga mendapat kesemua suspek mengenali antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan.

Rahimi berkata, siasatan lanjut mendapati wang sewa dibayar dengan harga RM30 seorang bagi perempuan dan RM50 seorang bagi lelaki untuk menyewa unit kondominium tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Beliau berkata, peralatan sistem audio dipercayai digunakan untuk mengadakan pesta liar, dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya) dan Peraturan 17(1) Peraturan Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) (No 2) 2021.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti liar berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama sama orang ramai dalam menyampaikan kegiatan jenayah kepada pihak polis," katanya. - The Star

apatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain