suria

Kecoh foto pekerja asing pakai gelang pink, Dr Noor Hisham dedah perkara sebenar

Gambar pekerja warga asing dengan memakai gelang merah jambu yang tular di media sosial.

KECOH mengenai dua gambar menunjukkan pekerja warga asing masih berada di kawasan pembinaan dengan memakai gelang merah jambu yang tular, baru-baru ini.

Namun, ia sebenarnya adalah pekerja yang melalui saringan pengawasan Covid-19 di tapak binaan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan individu-individu terbabit diberikan gelang merah jambu bagi mengelakkan mereka daripada keluar dari tapak binaan.

"Tetapi mereka masih boleh bergerak di dalam tapak binaan kerana ianya saringan pengawasan bukan saringan kontak rapat. Pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak binaan.

"Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari," katanya dalam catatan yang dimuat naik dalam akaun laman sosial Facebook beliau pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 264 daripada 273 orang yang telah disaring adalah melalui saringan pengawasan tapak binaan dan mereka berada di dalam kawasan pembinaan berkenaan.

Selain itu, Dr Noor Hisham memberitahu pemaju terbabit juga dinasihatkan untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi.

Katanya lagi, pada 13 November hingga 15 November lepas, pemaju berkenaan telah memberhentikan operasi sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan nyah cemar sehingga keputusan saringan diperoleh pada 15 November.

"Release order (perintah pelepasan) dan pemotongan gelang merah jambu telah dilakukan pada 15 November 2020, jam 11am (pagi) di tapak bina berkenaan. Hasil saringan terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak binaan, tetapi menetap di luar tapak binaan," katanya.

Beliau memberitahu, terdapat lapan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 terbabit yang masih menjalani tempoh kuarantin iaitu dari 7 November hingga 20 November, sementara kesemua pekerja lain yang dikesan negatif diberikan (perintah) pelepasan pada 15 November. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain