suria

Kes Covid-19 meningkat di Lembah Klang ada kaitan dengan tempat kerja

Daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja, termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

TEMPAT kerja turut dikaitkan sebagai antara punca peningkatan kes Covid-19 khususnya di kawasan Lembah Klang.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini berikutan ketiga-tiga negeri (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya) adalah pusat tumpuan warga pekerja. Kepadatan penduduk di negeri-negeri ini juga menjadi salah satu faktor risiko meningkatnya kadar kebolehjangkitan atau penularan penyakit Covid-19, ” katanya.

Sementara itu, beliau berkata daripada 162 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 72 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja, termasuk empat kluster baharu yang diumumkan hari ini.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru pihak majikan memainkan peranan lebih besar untuk bersama menangani penularan Covid-19 dalam negara.

“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja, misalnya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri, dan juga persekitaran di tempat tinggal, serta tempat kerja. Isu penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja bukan warganegara adalah merupakan isu penting yang perlu ditangani, ” katanya.. - BERNAMA.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain