suria

Pencemaran sungai: Reman 4 individu termasuk 2 pengarah syarikat dilanjut

(gambar fail) Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan. fotoBERNAMA

SIASATAN kes pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor masih berterusan.

Tempoh tahanan reman seorang wanita yang merupakan pengarah di sebuah syarikat pembinaan jalan raya berhubung siasatan kes pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dilanjutkan sehari lagi sehingga Khamis ini oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa.

Majistret Nur Hafizah Rajuni juga membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman selama enam hari terhadap tiga suspek lelaki sehingga 23 November ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran sungai: 4 termasuk 2 pengarah syarikat direman tujuh hari

Kesemua suspek berumur antara 33 hingga 43 tahun sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 11 November lepas untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wanita itu yang berumur 40 tahun dan lelaki berumur 43 tahun yang merupakan pengarah syarikat itu dan dua lelaki yang seorang daripadanya adalah warga Bangladesh tiba di Kompleks Mahkamah Selayang pada pukul 8.30 pagi dan dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding reman pada pukul 9.30 pagi.

Sebelum ini, media melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa (SSP) 1,2 dan 3 telah dihenti tugas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang pada 10 November lepas. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain