suria

PKS tak dilupa walau moratorium pembiayaan automatik dah berakhir, ini tawaran bantuan SME Bank yang perlu anda tahu

SME Bank telah mengambil pelbagai langkah dalam memastikan semua pelanggannya dapat dihubungi sama ada untuk rundingan atau tawaran bantuan. -foto AZMAN GHANI/The Star

SELEPAS berakhirnya moratorium pembiayaan automatik pada September lalu, SME Bank telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika ramai bergelut untuk bangkit semula akibat penutupan sektor ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, bank ini memperkenalkan Program Kemudahan PKS (SRP) untuk memastikan PKS berupaya menguruskan aliran tunai dan mengekalkan perniagaan mereka dalam tempoh krisis ini.

Ketua Kualiti Aset SME Bank, Abd Karim Ahmad berkata SRP merupakan sebahagian daripada inisiatif SME Bank untuk meningkatkan bantuan kepada PKS semasa gelombang pertama pandemik Covid-19.

"Setiap pelanggan mempunyai keperluan yang berbeza untuk perniagaan mereka dan ia bergantung pada peringkat perniagaan, keadaan ekonomi dan sektor industri.

"Dengan mempertimbangkan semua ini, SME Bank telah memperkenalkan SRP untuk terus membantu pelanggan kami terutamanya selepas tempoh moratorium automatik tamat," katanya.

Dua jenis bantuan ditawarkan di bawah SRP, iaitu "Indulgence", di mana pembayaran untuk kadar keuntungan dan prinsipal ditangguhkan untuk jangka waktu yang akan ditentukan, dan "Tempoh Servis Keuntungan", di mana hanya pembayaran keuntungan yang diteruskan dan pembayaran untuk prinsipal ditangguhkan untuk jangka masa yang akan ditentukan.

Program SRP ditawarkan kepada pelanggan SME Bank sedia ada yang layak mendapat moratorium automatik selama enam bulan dari Bank Negara dan perniagaan mereka mestilah masih beroperasi.

Ketua Kualiti Aset SME Bank, Abd Karim Ahmad

Abd Karim memaklumkan seramai 2,390 orang pelanggan (77 peratus) dengan nilai pembiayaan berjumlah lebih RM3.5 bilion telah menerima program SRP setakat ini.

Sementara itu, 66 peratus pelanggannya telah menerima pakej lanjutan moratorium hingga 12 bulan manakala 15 peratus lagi menerima pakej bayaran untuk kadar keuntungan selama enam bulan.

“SME Bank telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kami menghubungi semua pelanggan kami. Antara langkah yang diambil termasuk mengeluarkan surat pemberitahuan dan menganjurkan Hari Terbuka SRP di semua cawangan kami di seluruh negara.

“Kami juga memastikan pelanggan kami memahami pilihan yang mereka ada dan membantu mereka memilih pakej terbaik, sesuai dengan keperluan perniagaan semasa dan keadaan aliran tunai mereka, ” katanya.

Dalam pada itu, SME Bank turut mengambil langkah proaktif untuk membantu seramai 230 orang penyewa di Kompleks Premis Usahawan miliknya yang terletak di 26 lokasi strategik di seluruh negara.

Ini termasuk pengecualian sewa dari April 2020 hingga September 2020 dan diskaun 50 peratus untuk pembayaran sewa bermula Oktober 2020 hingga Mac 2021 yang memberikan penjimatan kos operasi sebanyak RM3.45 juta.

SME Bank juga mengadakan sesi bimbingan percuma dikenali sebagai SME Bank Business Strategic Series untuk melengkapkan penyewa dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang betul dalam menguruskan perniagaan mereka dengan lebih berkesan terutamanya dalam keadaan norma baharu ekoran perubahan landskap ekonomi.

Mereka didedahkan dengan topik merangkumi pengurusan akaun dan kewangan, perancangan perniagaan, pemasaran digital dan kepemimpinan.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif melangkaui pembiayaan SME Bank dalam memastikan pelanggan kami berjaya memulihkan perniagaan mereka dan bersedia dari segi mental untuk menghadapi cabaran teknologi," kata Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail

Bagaimanapun, akses kepada pembiayaan tetap menjadi kunci bagi syarikat untuk membina semula kapasiti dan menyesuaikan operasi mereka untuk tempoh sukar ini.

Namun, perniagaan kecil sering kekurangan cagaran untuk mendapatkan pembiayaan.

Ramai antara mereka mempunyai aliran tunai tidak konsisten dan pendapatan yang tidak stabil, menjadikan mereka kumpulan berisiko tinggi.

Kebiasaannya, kata Aria, banyak PKS turut menghadapi cabaran dalam menyediakan rancangan perniagaan yang baik yang boleh membawa kepada isu-isu kelangsungan perniagaan sewaktu mengendalikan perniagaan ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Aria berkata SME Bank juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan bagi memastikan PKS terus dibantu dalam tempoh sukar ini.

"SME Bank telah menaik taraf proses dalaman sebelum pandemik Covid-19 lagi dengan mengurangkan proses yang berulang bagi memastikan pembiayaan dapat diproses dan dikeluarkan tepat pada masanya.

"Ini telah dibuktikan dalam penilaian dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Covid-19 apabila Bank telah meluluskan 940 permohonan bernilai RM503 juta.

"Satu siri perbincangan aktif antara institusi kewangan (FI) dan pihak berkuasa juga telah memungkinkan kami untuk memberi bantuan kewangan kepada pelanggan tepat pada masanya.

"Ini termasuk tampil dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dipermudahkan sewaktu memproses pembiayaan, keperluan sebelum pengeluaran, jaminan dan persetujuan dari FI lain sebelum pembayaran," katanya.

SME Bank telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan bagi memastikan PKS terus dibantu dalam tempoh sukar ini.

Perjalanan transformasi digital SME Bank yang bermula pada 2019 juga membolehkan pihak Bank membimbing dan membangunkan PKS dengan lebih baik.

Bank telah memperkenalkan platform dalam talian seperti ScoreXcess, yang membantu para usahawan untuk memohon pembiayaan mikro secara lebih efisien, dan ODELA, platform e-dagang untuk perniagaan ke perniagaan yang membolehkan usahawan melakukan transaksi, memudahkan pertukaran, memupuk inovasi dan kerjasama merentasi ekosistem yang luas.

SME Bank melalui laman web rasminya juga memperkenalkan sistem Book-Your-Banker yang memudahkan urusan janji temu oleh pengusaha untuk bertemu pegawai bank di cawangan pilihan mereka pada masa yang sesuai.

"Juga penting bagi kami untuk terus berkomunikasi secara berkesan dengan para pelanggan bagi memastikan mereka menyedari apa yang kami tawarkan dan apa yang harus mereka lakukan untuk terus bertahan dalam persekitaran yang penuh mencabar," kata Aria.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain