suria

"Kalau boleh tidak diadakan pilihan raya" - Dr Noor Hisham tegaskan tidak sesuai ketika penularan Covid-19

KKM syor pilihan raya tidak diadakan dalam waktu terdekat,

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meluahkan rasa bimbang sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh Covid-19 yang sedang melanda negara ini.

Perkara itu disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menerusi sidang media pada Jumaat petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sabah catat 3 kematian, 799 kes baharu direkodkan... 8 lagi kluster dikesan

"KKM mengambil maklum keperluan mengadakan pilihan raya mengikut ketentuan undang-undang, namun begitu memang kebimbangan KKM untuk mengadakannya pada masa ini.

"Syor KKM ialah, kalau boleh tidak diadakan pilihan raya. Bagaimanapun, kalau tidak boleh, terpaksa dilaksanakan... jadi kita kena lihat keadaan semasa," kata Dr Noor Hisham.

Ujarnya, ada beberapa prinsip yang perlu dipatuhi sekiranya pilihan raya perlu diadakan.

Antaranya, tiada pergerakan rentas daerah dan negeri, tiada perhimpunan iaitu berkempen beramai-ramai dan tiada kunjungan dari rumah ke rumah.

Paling penting katanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat yang terlibat dengan aktiviti pilihan raya.

"Walaupun kita boleh adakan SOP, tapi kepatuhan tu penting. Kalau kita tak patuh, mungkin Covid-19 akan merebak," katanya lagi.

Pada Jumaat, KKM mengumumkan 799 kes baharu Covid-19 dengan tiga lagi kematian di Sabah, menjadikan keseluruhan 249 korban tempatan setakat ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain