suria

9 individu termasuk lima penjawat awam direman

Sembilan individu termasuk lima penjawat awam direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung pendaftaran akaun baharu e-perolehan melibatkan sebuah kementerian. - fotoBERNAMA

SEMBILAN individu termasuk lima penjawat awam direman selama enam hari kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung pendaftaran akaun baharu e-perolehan melibatkan sebuah kementerian.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman itu yang bermula hari ini hingga 22 Julai selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat.

Terdahulu, kesemua suspek, merangkumi lima wanita dan empat lelaki, tiba di mahkamah pada kira-kira 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, kesemua sembilan individu terbabit ditahan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam operasi semalam.

Lima penjawat awam berkenaan, tiga daripadanya wanita, merupakan petugas di unit pendaftaran syarikat kementerian itu manakala yang lain adalah orang awam, katanya.

Sumber SPRM berkata selain permohonan akaun e-perolehan, individu berusia antara 30 hingga 47 tahun terbabit juga disyaki terlibat dalam urusan permohonan mendapatkan status bumiputera syarikat di sekitar Lembah Klang.

Sumber itu juga berkata risikan yang dijalankan selama enam bulan mendedahkan bahawa kegiatan sindiket tersebut bermula pada 2017 dan ratusan ribu ringgit wang rasuah dikutip sindiket daripada syarikat di sekitar Lembah Klang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

SPRM, penjawat awam

Artikel Lain