suria

Maaf bakal haji... Malaysia tangguhkan penghantaran jemaah musim ini - Menteri Agama akui ia keputusan amat berat

Malaysia membuat keputusan berkaitan jemaah haji untuk tahun ini.

MALAYSIA memutuskan untuk menanguhkan penghantaran jemaah negara bagi menunaikan haji pada tahun ini bagi musim haji 1441H.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada sidang media, petang Khamis.

Mengakui ia keputusan yang berat, Zulkifli berkata, penghantaran jemaah Malaysia ditangguhkan ke tahun hadapan.

Beliau berkata, keputusan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya bagi pihak kerajaan Malaysia ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam bahawa berdasarkan kepada taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 9 Jun 2020, ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441 Hijrah adalah ditangguhkan," katanya.

Selain isu haji, beliau juga akan mengumumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) solat jemaah dan solat Jumaat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Zulkifli berkata, selain Malaysia, antara negara-negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.

Keputusan itu dibuat atas alasan kesihatan dan keselamatan jemaahnya ketika pandemik Covid-19 sedang mengancam penduduk di seluruh dunia.

"Saya mengharapkan semua bakal haji untuk bersabar dan redha dengan keputusan ini. Sehubungan itu, TH akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim (FAQ) berkaitan urusan penangguhan ibadat haji bagi Musim Haji 1441H," katanya.

Ketika menjawab soalan pemberita, Zulkifli berkata, jemaah yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini keseluruhannya akan dibawa ke tahun hadapan.

"Yang tahun hadapan akan dibawa ke tahun hadapan yang lain. Dan kita akan cuba usahakan dengan sebaik mungkin.

"Kecuali masalah yang diterima melalui rayuan haji yang diluluskan oleh TH, maka diminta untuk membuat rayuan semula kerana rayuan ini dianggap sebagai terbatal. InsyaAllah, mohon semula pada tahun hadapan," tambahnya.

Sama ada kuota jemaah haji akan bertambah tahun hadapan disebabkan oleh penangguhan tahun ini, beliau menjelaskan bahawa ia bergantung kepada kerajaan Arab Saudi.

Zulkifli turut memberitahu, TH bersedia untuk membuat bayaran balik bagi kos untuk menunaikan haji kepada bakal jemaah yang tidak dapat melakukan ibadat itu tahun ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

haji, jemaah, sop, solat Jumaat,

Artikel Lain