suria

Malaysia Boleh! Dr Noor Hisham yakin dapat putuskan rantaian Covid-19 jika rakyat bersatu, fokus kepada 10 peratus rakyat ingkar PKPB

Sekatan di sempadan dan pintu masuk tetap diperketatkan ketika PKPB. Foto: Bernama

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yakin kes positif Covid-19 di negara ini akan berjaya diturunkan kepada satu angka sedikit masa lagi sekiranya semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru, Dr Noor Hisham mahu seluruh rakyat Malaysia bersatu demi merealisasikan misi tersebut sekaligus memutuskan rantaian wabak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya 16 kes baharu, angka paling rendah setakat ini... tiada kematian direkod

"Saya diberitahu oleh Ketua Polis Negara (KPN) bahawa pematuhan rakyat adalah hampir 90 peratus, dan kita mungkin perlu fokus kepada kumpulan 10 peratus ini.

"Jika industri kita, pasaraya kita patuh kepada SOP yang diberi KKM, saya pasti kita boleh turunkan kes. Tapi jika mahu berjaya dan putuskan rantaian Covid-19 di negara ini, kita perlu bersatu.

"Setiap daripada kita perlu meletakkan usaha, saya pasti kita boleh melakukannya. Malaysia Boleh!" katanya dalam sidang media harian Covid-19 pada Selasa.

Menurut Dr Noor Hisham, beliau tidak menolak wujudnya kebimbangan ramai terhadap kemungkinan berlakunya gelombang kedua apabila kerajaan mula menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu.

Bagaimanapun ujarnya, sungguhpun sebahagian besar sektor ekonomi dan sekatan pergerakan sudah dilonggarkan semasa PKPB, namun tegas beliau, langkah pengawalan sempadan serta di pintu masuk utama tetap diperketatkan bagi mengelakkan penularan wabak.

"Apa yang penting, hari ini kita dah melaksanakan PKP 1,2, 3 dan 4. Hari ini kita dapat melihat kasil kejayaan PKP bermakna pelaksanaan berjaya meratakan lengkuk dan kita berjaya menurunkan angka daripada tiga angka kepada dua angka.

"Hari ini paling rendah dengan 16 kes, dengan tiga daripadanya adalah kes import, 13 kes penularan tempatan. Semua 13 kes tempatan ini, sembilan melibatkan sembilan bukan warganegara dan empat kes warganegara. Kita sedang buat yang terbaik.

"Tapi kalau lihat strategi PKPB, ini bukan strategi keluar (exit strategy). Ia masih PKP. Apa yang kita buat adalah kita longgarkan sekatan pergerakan. Apa yang penting, enam strategi keluar yang dikenalpasti, kita terapkan enam kritieria dan letakkan ia sebagai amalan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain