suria

Idea dan inovasi diteliti elak kesesakan di klinik, hospital kerajaan - “Pesakit tunggu di kereta dahulu sebelum temu janji”

KKM sedang meneliti cara untuk mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital agar peraturan penjarakkan sosial dapat dipatuhi. Gambar sekadar hiasan.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti idea dan inovasi bagi perkhidmatan di klinik dan juga hospital kerajaan untuk memastikan peraturan penjarakkan sosial dapat dipatuhi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini pihaknya sedang meneliti cara untuk memperkenalkan temu janji secara berjadual bagi mengurangkan kesesakan di klinik dan juga hospital kerajaan.

"Seperti yang anda ketahui klinik atau hospital kerajaan sesak sepanjang masa. Jadi kami sedang meneliti cara untuk memperkenalkan temu janji berjadual.

"Sebagai contoh, kami hanya bertemu pesakit apabila tiba masanya dan mereka yang datang ke hospital atau klinik perlu menunggu di dalam kereta terlebih dahulu.

"Bila giliran tiba barulah pesakit datang. Jadi kita sedang meneliti banyak idea dan inovasi untuk memastikan kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Selasa petang.

Malah beliau berkata, pihaknya sudah pun memulakan perkhidmatan klinik virtual bagi memudahkan pesakit tidak perlu datang ke hsopital.

"Kami sudah ada perkhidmatan klinik virtual di mana anda tak perlu datang ke hospital untuk mengambil ubat tetapi kami hantar kepada anda," katanya.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata pihak sedang meneliti perkhidmatan yang boleh menggunakan pendekatan serupa.

"Sebagai contoh kesihatan keluarga (maternal and child health). Kami menyediakan penjagaan post natal ke rumah.

"Kini kes lain, pesakit strok dan sebagainya. Daripada mereka datang kepada kita, kita datang kepada mereka.

"Jadi inilah yang cuba kami perkenalkan di KKM. Kami sedang melihat pelbagai cara untuk memperbaiki perkhidmatan kepada masyarakat," katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata pendekatan itu amat penting kerana dengan itu barulah kesesakan di klinik dan hospital dapat diatasi.

"Jika kita boleh mengurangkan kesesakan, barulah kita boleh memperkenalkan penjarakkan sosial di hospital.

"Jadi kami amat serius dan sedang meneliti setiap peringkat. Kami akan memperkenalkan sistem baharu ini di klinik dan juga hospital," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain