suria

DJ radio direman akibat kenyataan jelik, hina TMJ

Tempoh tahanan reman selama tiga hari dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru bermula hari ini.

SEORANG pelakon dan penyampai radio popular direman oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki memuat naik kenyataan jelik bertujuan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Institusi Diraja Johor.

Perintah reman selama tiga hari dikeluarkan oleh Majistret Saba’aton Daud.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata individu itu, ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya semalam.

Turut dirampas sebuah komputer riba miliknya.

"Jumaat lepas, polis Johor telah menerima satu laporan polis daripada orang awam ekoran kenyataan jelik di laman sosial Facebook berbaur hinaan terhadap Tunku Ismail," katanya dalam kenyataan, di Johor Bahru hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sehubungan dengan itu, Ayob Khan menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi memuat naik kenyataan palsu bertujuan menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak atau tindakan tegas akan diambil. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

reman, TMJ, Johor, penyampai radio, hina

Artikel Lain